PADANG TERAP: Keputusan UMNO bergerak secara solo tanpa menjalin kerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diyakini tidak menjejaskan hubungan antara ketiga-tiga parti itu yang membentuk kerajaan Persekutuan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau yakin ketika ini terdapat persefahaman di peringkat Persekutuan yang membantu ketiga-tiga parti itu untuk kekal menjalin hubungan.
Malah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah membuat keputusan supaya tiada program-program berkaitan kementerian dibawa ke Melaka sempena PRN itu nanti.
“Maksudnya kalau menteri turun ke Melaka pun, itu atas kapasiti beliau sebagai ahli parti politik. Bukan turun sebagai seorang menteri yang membawa bersama program-program kementerian.
“Kita ada persefahaman di peringkat Persekutuan. Walaupun UMNO bertanding solo di Melaka, namun di peringkat Persekutuan kita masih memiliki hubungan atas nama kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang (APC) Kemas Peringkat Negeri Kedah di Dewan Kolej Mara Kuala Nerang, di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 102 pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menerima anugerah tersebut manakala 51 pesara juga diraikan.
Mahdzir menambah, sehingga kini hubungan antara Ahli Parlimen dari ketiga-tiga parti juga tampak langsung tidak mempunyai masalah.
“Setakat ini tak ada apa-apa masalah. Dalam mesyuarat Kabinet Rabu lepas pun, semua yang terlibat turut membuat keputusan secara bersama,” katanya.
Mengulas mengenai peluang UMNO untuk memenangi PRN itu, Mahdzir berkata, Melaka secara tradisinya sebelum ini sememangnya berada di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Jadi saya fikir PRN kali ini pun tradisi itu akan kekal kepada BN. Insya-Allah, kita boleh mencapai kemenangan pada 20 November ini,” katanya. – UTUSAN











