JASIN: Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Jasin dilihat bakal terlepas daripada genggaman berikutan calon dipilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini didakwa tidak memenuhi kehendak masyarakat dan akar umbi di kawasan terbabit.
Setiausaha UMNO Bahagian Jasin, Datuk Abdul Kalam Hassan berkata, rata-rata masyarakat dan ahli mula menunjukkan rasa resah dan kurang senang apabila mendapat tahu melalui media sosial berhubung senarai calon yang akan bertanding di Bemban, Sungai Rambai dan Rim.
Paling mengecewakan, katanya, apabila nama Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Kenapa calon baharu diletakkan di sini sedangkan beliau (Hasan) mempunyai rekod cemerlang kerana telah menjadikan Sungai Rambai sebuah daerah yang harmoni dengan pelbagai pembangunan dinikmati penduduk setempat.
“Masyarakat di sini sebenar kecewa apabila mendapat tahu nama Hasan tidak berada dalam senarai sebagai calon kerana mereka masih mengharapkan beliau bertanding mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.
“Saya berharap pucuk pimpinan parti mengambil perhatian sikit kerana akar umbi sudah melahirkan keluh- kesah dan apa yang membimbangkan saya apabila keinginan untuk mencapai kejayaan, lain pula jadinya nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan DUN Sungai Rambai di sini.
Abdul Kalam menambah, keadaan serupa turut berlaku di DUN Rim apabila calon muka baharu akan bertanding di kerusi tersebut.
Katanya, ramai pihak menghubunginya, menyatakan rasa kecewa apabila mendapat tahu calon bertanding bukan anak jati yang menetap di situ.
Nama Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira akan bertanding di Rim menggantikan Datuk Ghazale Muhamad.
Di Bemban pula, katanya, dalam kalangan ketua cawangan dan ahli amat kecewa selepas calon MCA diumumkan bertanding di DUN berkenaan.
“Selepas BN tumbang, kita jadikan Bemban sebagai kubu kuat UMNO dengan gerak kerja telah diatur dan dipupuk selama dua tahun. Tba-tiba ia tidak menjadi kenyataan apabila kerusi ini diserahkan semula kepada MCA,” jelasnya. – UTUSAN










