Pertimbang garis panduan, akta p-hailing - Utusan Malaysia

Pertimbang garis panduan, akta p-hailing

KERATAN akhbar Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu bentuk akta atau garis panduan buat golongan penghantar industri p-hailing wajar dipertimbang bagi menjamin kebajikan dan keselamatan mereka.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusoff Abdul Rahman berkata, industri p-hailing adalah satu kerjaya yang sedang berkembang sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.

Katanya, bentuk kawalan itu boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan garis panduan diwujudkan satu akta atau dimasukkan peruntukannya di bawah akta pekerjaan sedia ada.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini penting bagi memberi jaminan pekerjaan kepada penghantar agar tidak sewenang-wenangnya diperlaku secara tidak adil oleh syarikat mereka.

“Kadangkala syarikat buat dasar tetapi dasar mereka boleh berubah menyebabkan pendapatan yang diperoleh berubah-ubah sehingga akhirnya boleh menjejaskan pendapatan golongan penghantar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, kira-kira 80,000 pekerja penghantar atau rider mendakwa mereka terus ‘diabaikan’ kerana sehingga kini belum ada garis panduan dari segi perundangan berhubung pekerjaan mereka.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata, perkara paling merisaukan adalah belum ada garis panduan, badan kawal selia dan undang-undang bagi menjaga keselamatan, kebajikan dan keadilan pekerja penghantar yang semakin berkembang.

Mohd. Yusoff Abdul Rahman

Menurut Yusof, pihaknya tidak menafikan bahawa jaminan dari segi kebajikan keselamatan dan pelbagai kemudahan pekerjaan diperlukan, namun penghantar juga perlu mengikut peraturan-peraturan ditetapkan selepas ia dikuatkuasakan.

“Apabila akta itu sudah dikuatkuasakan, maka mereka pun kena faham apa yang boleh dan apa yang tak boleh dibuat.

“Jika berlaku kemalangan disebabkan langgar lampu isyarat selepas akta diperuntukkan, maka ada kemungkinan mereka tidak akan dilindungi. Jadi faktor peraturan memang perlu dipenuhi,” katanya.

Senada dengan beliau, Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Kedah Negeri Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, satu garis panduan dan akta kerja perlu dilaksanakan supaya mereka berasa lebih selamat.

Katanya, perkara itu diperlukan bagi membolehkan syarikat pengendali dan pengntatar mematuhi peraturan yang diperuntukkan dengan lebih serius.

“Sekarang bukan sahaja kematian, tetapi banyak pihak syarikat tak peduli jika berlaku kecederaan terutamanya mereka yang hilang upaya kekal.

“Cake juga melihat bahawa penghantar memerlukan satu insurans khas kerana risiko mereka adalah tinggi dan ini sepatutnya dibuat oleh syarikat,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×