KARYA sastera klasik boleh menjadi sumber kepada penulisan cerita baharu, bukan setakat menceritakan semula dengan bahasa yang lebih mudah atau menggunakan sistem ejaan baharu. Pengarang tempatan boleh mengambil idea dan inspirasi daripada teks klasik seperti epik dan hikayat. Idea itu wajar diolah dengan gaya yang segar dengan suntikan unsur yang memberi peluang kepada khalayak melihat teks asal (karya klasik) dari perspektif berbeza.
Sesungguhnya, kita memerlukan karya besar yang boleh berperanan seperti serampang dua mata. Kita mahu sajian karya bermutu yang mampu menarik khalayak pembaca generasi baharu. Pada masa sama, kita mahu generasi muda ini mengenal serta berminat mengambil tahu tentang epik, hikayat dan karya klasik yang semakin dilupakan.
Kita ada sejumlah Sasterawan Negara (SN) yang sentiasa diharapkan supaya melahirkan karya yang mampu menggugah daya intelek dan imaginasi pembaca. Kita sedia maklum, sejak Jun 2019, para SN menerima elaun penghargaan bulanan RM5,000 seorang.
Elaun itu bertujuan menjamin kebajikan, kesejahteraan dan memberi keselesaan kepada para SN supaya mereka boleh terus-menerus menyumbangkan idea, pemikiran, keilmuan serta menghasilkan karya bermutu. Maka orang ramai berhak mengharapkan karya hebat daripada mereka.
Malangnya, sejak hampir sedekad lalu, kita tidak melihat sebarang karya besar daripada SN yang mampu menjentik, apatah lagi menggugah, pemikiran khalayak. Pemergian Datuk Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) pada 27 Oktober lalu membuatkan kita terkesima.
Apabila Muhammad Dahlan Abdul Baing (Arena Wati) meninggal dunia pada 25 Januari 2009, beberapa manuskrip yang ditinggalkan sempat diterbitkan sebagai santapan minda kita.
Dalam situasi kemarau karya besar daripada SN, mujurlah kita masih berpeluang menatap dan menikmati pelbagai tulisan hebat daripada pengarang generasi muda.
Saya tertarik melihat kemampuan beberapa penulis tempatan mengambil inspirasi daripada karya klasik. Novel Kembang Kanigara (1992) oleh S.M. Zakir antara karya awal generasi muda yang saya baca. Beliau menceritakan Hikayat Seri Rama dari sudut pengalaman Indrajit, anak Ravana.
Pada 1990, saya menghasilkan sebuah manuskrip yang kemudian diterbitkan dengan judul Hanuman: Potret Diri (1996) dan Hanuman: Suara Hati (2013). Kisah Ramayana diceritakan dari sudut pengalaman Hanuman.
Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah selalu menjadi sumber idea dan inspirasi kepada pengarang tempatan. Novel satira Amuk Malam Merdeka (2015) oleh Ronasina menampilkan kisah Hang Tuah, Hang Jebat dan Munsyi Abdullah tiba-tiba berada di Kuala Lumpur pada abad ke-21. Mereka cuba mengingatkan pembaca Melayu betapa mereka semakin hilang maruah, semangat dan jati diri.
WIRA
Sejak dahulu, ada usaha mengangkat Hang Jebat sebagai wira sebenar mewakili orang Melayu. Anjakan paradigma ini paling nyata menerusi kajian Perwatakan Dalam Hikayat Hang Tuah (1971) oleh Kassim Ahmad. Drama pentas pada 1980-an turut mengangkat Hang Jebat sebagai wira yang menegakkan keadilan.
Terkini, Naim Al-Kalantani (Naim Abd. Aziz) menulis skrip bangsawan Talbis Tuah (2021). Digambarkan watak Hang Tuah yang masih tidak bertaubat selepas membunuh Hang Jebat. Maka Hang Lekiu bangkit menegakkan kebenaran mengikut lunas Islam.
Selain karya tempatan yang mengangkat kisah daripada epik dan hikayat, saya juga gemar membaca karya dari India. Saya mendapati penulis di sana lebih berani menyanggah naratif dalam epik, hikayat, cerita rakyat, purana, malah kitab suci.
Apabila pujangga Tamil, Kamban melakukan penceritaan semula epik Ramayana pada abad ke-12, watak Ravana sudah dijadikan lebih ‘putih’, iaitu diberi pelbagai sifat positif dan terpuji. Novel Ravanaleela (2017) oleh Radha Viswanath menampilkan watak Ravana menceritakan pengalamannya yang tidak ditulis oleh Valmiki dalam Ramayana.
Novel bahasa Malayalam berjudul Randamoolam (1984) oleh MT Vasudevan menceritakan kisah-kisah dalam epik Mahabharata dari sudut pandang Bhima. Wira itu terpaksa mengalah kepada abangnya, Yudhistra dalam soal pentadbiran kerajaan. Dia juga terpaksa mengalah kepada adiknya, Arjuna dalam soal keperwiraan. Bhima berjaya membunuh kesemua 100 adik-beradik Kaurava tetapi dia menjadi wira yang tidak didendang.
Seorang lagi pengarang Malayali, Sarah Joseph menulis Oorukaaval (2008). Novel ini menggunakan sudut pandang Angada, anak Vaali yang dibunuh oleh Rama dalam Ramayana. Angada memahami penderitaan yang dialami rata-rata watak wanita dalam epik itu.
Memang ada banyak karya dalam pelbagai bahasa di India yang mengangkat watak Sita sebagai wirawati. Rama dikatakan tidak berlaku adil dalam kes isterinya.
Devdutt Pattanik pula banyak menulis buku yang memaksa pembaca melihat epik dan purana dari sudut yang amat berbeza. Buku The Birth of Kali (2018) oleh Anita Sivakumaran juga amat menarik dan mencabar minda kerana memaksa kita mentafsir semula pelbagai kisah yang pernah dibaca atau didengar sejak kanak-kanak.
Misalnya, bagaimana Draupadi dalam Mahabharata mampu hidup dalam pondok kecil bersama lima suaminya (Pandava) semasa hidup dalam buangan. Kita diberi peluang menghayati kisah Bhisma dari sudut penceritaan Shikandi. Ringkasnya, watak wanita menceritakan pengalaman dan pengamatan mereka secara ikhlas.
Kisah dewa-dewi dalam purana dan teks Veda juga diangkat dan diberi interpretasi baharu. Para penulis dengan penuh berani dan berilmu cuba meneroka pelbagai sudut yang sebelum ini mungkin tidak terjangkau oleh fikiran. Akhirnya, mereka menyajikan bahan bacaan bermutu yang menjadikan khalayak lebih berilmu serta mampu berfikir secara lebih kreatif dan kritikal.
Kita nantikan karya seumpama itu daripada pengarang Malaysia yang bakal menggugah senario sastera tempatan, walaupun mungkin mustahil diharapkan daripada para SN yang hidup selesa dengan elaun bulanan yang agak lumayan.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










