APA yang dikehendaki orang muda sebenarnya, dengan kuasa satu undi?
Seorang pemimpin muda yang saya temui berkata, anak muda hendakkan pendidikan, kerjaya dan sumber pendapatan. Katanya, dalam usia hijau, golongan tersebut memerlukan sumber atau modal untuk memulakan kehidupan.
Namun, jika diamati, sebenarnya majoriti generasi muda tidak pasti apa yang mereka hendak disebabkan dua tahun kebelakangan ini, kita berada dalam suasana pandemik Covid-19. Dua tahun yang bernilai, ‘hilang’ akibat pandemik mengajar mereka erti hidup dalam serba kepayahan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PKP menyekat kebebasan mereka untuk belajar, bersosial malahan menjana ekonomi.
Tup-tup timbul pula kisah pendaftaran automatik pengundi berumur 18 hingga 21 tahun (Undi18). Maka bermulalah agenda parti politik untuk menarik para remaja yang sedang bergelut dengan realiti pahit ini menjadi ahli mereka.
SPM
Sebenarnya agenda menarik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menjadi ahli telah dilakukan oleh parti-parti politik dengan sistematik.
Namun, anak-anak muda ini seakan tenggelam punca, sama ada ingin bergiat dalam politik atau fokus meneruskan pendidikan dan pekerjaan.
Senario tersebut didedahkan seorang pemimpin politik veteran yang melahirkan kebimbangan dengan sikap anak muda yang tidak minat berpolitik. Sedangkan katanya, dengan kuasa politiklah mereka mampu melindungi kepentingan diri pada masa depan.
Menurutnya, apabila mesyuarat persidangan parti diadakan, hanya dua, tiga kerat anak muda yang hadir. Yang lain otai-otai berusia 50 tahun ke atas. Justeru, apa akan jadi pada perjuangan politik bangsa Melayu jika pelapis seakan tiada hala tuju kepimpinan?
Anak-anak muda seakan tersisih daripada persaingan politik kepartian yang menyebabkan pentadbiran kerajaan Pusat tiga kali bertukar.
Pemimpin-pemimpin di luar sana, fahamilah, anak muda bukan sahaja mahu mengundi tetapi dalam keadaan politik yang kurang stabil hari ini, mereka tidak pasti gunanya kuasa satu undi tersebut.
Mereka ibarat diberi sebilah pisau tetapi tidak pasti hendak digunakan sama ada untuk memotong epal atau benda lain. Dibimbangi mereka akan melukakan diri sendiri atau orang lain.
Atas semangat Keluarga Malaysia, santunilah golongan remaja yang diberi mandat untuk memilih kerajaan. Takut mereka bukan sahaja memilih parti yang menghargai kelompok mereka, malahan dek kerana tidak berminat dengan politik, mengundi pun mereka malas pergi.










