PENGLIBATAN dalam program kebajikan memerlukan jiwa yang kental dan semangat. Lebih-lebih lagi bantuan dihulurkan adalah hasil sumbangan penderma dan orang ramai.
Jika orang lain selesa menghabiskan waktu terluang bersama keluarga di rumah, sukarelawan, Erni Zawawi, sebaliknya. Dia mengerah keringat membantu golongan memerlukan atas dasar kemanusiaan.
Membabitkan diri dalam kerja amal sejak di bangku sekolah lagi semasa berusia 10 tahun.
Peluang menempatkan diri dalam sektor pekerjaan di Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) membuka laluan untuknya terus melakukan kerja yang dicintai itu.
“Sejak tahun 2010 iaitu bersama MAC dan MAF, saya sudah bergiat membantu golongan yang memerlukan dan komuniti terpinggir, orang yang hidup dengan AIDS/HiV, ibu tunggal dan anak yatim piatu.
“Pada masa itu sesuatu yang normal untuk setiap warga kerja MAC dan MAF, membantu komuniti terpinggir atas dasar empati dan kemanusiaan. Malah komitmen dan tanggungjawab untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan bagaikan sudah sebati,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kerja amal dilakukan Erni luas ruang lingkupnya, tidak kira sama ada manusia atau haiwan jalanan, dalam mahupun luar negara.
Menariknya biarpun sudah tidak bekerja dengan MAC dan MAF, amalan mulia itu terus sebati dalam dirinya sehingga ke hari ini.
Inspirasi
Erni berkata, budaya dermawan dan sifat empati dalam dirinya banyak diterapkan bekas ketua dan figura penting dalam kerjayanya pada masa itu, iaitu Allahyarham Tan Sri Zaman Khan dan Prof. Dr. Adeeba Kamaruzzaman.
“Ayah dan ahli keluarga banyak mencetuskan inspirasi untuk saya berada dalam dunia kebajikan itu. Selain itu, Abdul Rahman ibn Auf, seorang sahabat Rasulullah SAW dan jutawan terkenal dalam sejarah Islam serta mendiang Lady Diana Spencer, Princess of Wales,” katanya.
Ke mana tumpah kuah kalau bukan ke nasi. Kata Erni pendedahan dalam kerja kesukarelaan didedahkan oleh ayah, datuk serta ahli keluarganya.
“Keluarga saya selalu membuat misi bantuan kepada golongan dalam kesusahan dan komuniti orang Asli, terutamanya semasa Ramadan, persiapan Aidilfitri dan persiapan banjir.
“Saya berasa sangat terinspirasi kerana mereka ini mempunyai personaliti dan perwatakan yang menarik, sifat keikhlasan dan ketelusan, daya kesungguhan yang kuat.
“Sifat kepimpinan dan semangat juang mereka juga tinggi dalam menegak kebenaran dan keadilan untuk membantu golongan dalam kesusahan dan amat memerlukan sehingga tugas mereka selesai dengan jayanya,” katanya.
Cabaran
Bagi Erni, semua kerja amal memang cabaran dan rintangan kerana itu adat dan ujian sama ada mampu bersabar, ikhlas dan bukan untuk mengejar populariti dan publisiti.
“Kita perlu bijak dan telus untuk mencari solusi demi mengatasi cabaran dan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul semasa menjalankan amanah yang diberikan.
“Justeru, ia terpulang kepada niat kita untuk membantu orang yang dalam kesusahan dan untuk mendapat keredaan Allah SWT.
“Saya percaya dan berpegang dengan kata-kata hikmah, ‘dalam rezeki kita, ada juga rezeki untuk orang lain’. Jika kita mempermudahkan urusan orang lain, Allah akan mudahkan urusan kita,” katanya.
Dalam hal ini, Erni berasa rendah diri dan ‘bahagia’ apabila asnaf menerima bantuan yang sepatutnya. Kenangan manis itu membuat Erni berasa lega lebih-lebih lagi melihat mereka mereka tersenyum.
“Saya selalu meminta mereka ini mendoakan saya dan rakan-rakan dipermudahkan urusan membantu mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Namun, kadang-kala Erni menghadapi kekangan wang untuk mendapatkan bekalan makanan, susu dan lampin pakai buang. Namun, urusan dia dan rakan-rakan dipermudahkan apabila tanpa dijangka ada pihak yang berhati mulia turut sama menaja bekalan makanan dan memberi sedikit wang.
“Bantuan tersebut kami guna untuk dapatkan bekalan susu dan lampin pakai buang kanak-kanak. Sudah tentu melihat mereka yang dibantu ceria dan gembira. Saya bersyukur dan ia menjadi kebahagiaan buat saya dan rakan-rakan,” katanya.
Bantu Ibu Tunggal
Dalam perkembangan terkini berhubung pandemik Covid-19, Erni turut rancak menjalankan misi kemanusiaan bagi membantu mereka yang terjejas.
Antaranya, terlibat dengan komuniti terpinggir dan ibu tunggal yang dilakukan bersama kumpulan sahabat media dan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0.
Dianggarkan lebih 600 orang termasuk dalam kategori asnaf dan komuniti terpinggir yang terputus bekalan makanan dan ubat-ubatan dibantu.
Ia termasuk masyarakat Orang Asli, keluarga yang hilang tempat tinggal, mereka yang hilang pendapatan, sekumpulan ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang tidak dapat bekerja semasa PKP.
“Alhamdulillah saya dan pasukan dapat membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 melalui pelancaran kempen crowdfunding iaitu #BenderaPutih. Dalam kempen ini kami menghulurkan bantuan pelbagai makanan asas, bekalan susu dan lampin pakai buang untuk bayi baru lahir dan kanak-kanak,” katanya.
Sebelum ini katanya, dia turut melancarkan satu kempen #ChickenforChildren dan sedekah Aidiladha.
Kempen #ChickenforChildren itu menyasarkan bantuan ayam segar kepada 100 keluarga di Lembah Subang semasa sambutan aidilfitri.
Pada Aidiladha mereka turut menyampaikan daging korban kepada ahli FDAM yang terjejas dan hilang pendapatan.
Dana awam
Tanggungjawab membantu ini banyak bergantung kepada sumber dana dan bantuan diperoleh daripada kutipan zakat, sumbangan korporat dan bantuan awam melalui pelbagai platform antaranya Launchgood dan KitaFund.
“Kerja amal bukan satu kerja yang mudah dan tidak sepatutnya dipandang ringan. Isu ketelusan dan kejujuran dalam menguruskan dana ini adalah amat penting kerana ia melibatkan kepercayaan dari semua pihak yang terlibat, iaitu penderma, pengurus dana dan pasukannya dan akhir sekali penerima dana tersebut, katanya”.
Teknologi mudahkan kerja
Pengasas syarikat perhubungan awam Erni Inc. ini berkata, sebagai wanita bekerjaya dan berkeluarga, bukan mudah untuk dirinya menguruskan jadual rumah tangga dengan kerja amal.
“Saya mempunyai satu jadual rutin. Ada hari yang saya peruntukkan untuk membuat perancangan bagi mendapat bantuan dan menyelesaikan urusan berkaitan kerja amal. Ada hari saya akan tumpukan sepenuh masa di rumah dan tempat kerja,” katanya.

Begitupun katanya, teknologi yang sedia ada seperti kemudahan aplikasi mudah alih termasuk WhatsApp, perbankan internet, emel, panggilan video dan lain-lain.
Ini amat memudahkan kerja dan mempercepatkan komunikasi dengan pasukan sokongan, sahabat-sahabat serta penderma bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan penerima dengan segera.
“Walaupun kawalan ketat semasa PKP berlangsung baru-baru ini, syukur kami mampu zahirkan kerana dapat membantu ramai juga golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Antaranya menghulurkan bantuan makanan asas, bekalan susu dan lampin pakai buang untuk bayi baru lahir dan kanak-kanak, bekalan ayam segar dan daging korban semasa sambutan Aidilfitri dan Aidiladha,” ujarnya.
Bagi perancangan 2022, Erni dan kumpulannya sedang berusaha membantu golongan masyarakat yang masih terjejas akibat pandemik Covid-19 dan mereka yang berada dalam kuarantin akibat jangkitan Covid-19 walaupun sekatan PKP telah dilonggarkan.
“Saya juga sedang membuat perancangan teliti bersama kumpulan dan sahabat yang meneruskan usaha sama dan kolaborasi pada 2022.
“Ini untuk membantu golongan yang terpinggir dan amat memerlukan memandangkan kesan pandemik Covid-19 ini akan berpanjangan sehingga keadaan di Malaysia dan seluruh dunia berada dalam zon yang selamat,” katanya.










