PENDEKATAN inklusif dalam setiap perancangan pembangunan negara menepati keperluan dan mengharmonikan kehidupan. Itulah kenyataan yang terdapat di Malaysia.
Dan itulah sebenarnya antara rahsia kenapa Malaysia kekal makmur dan stabil sejak berpuluh dekad lalu.
Masyarakat bumiputera sentiasa diberi peluang memajukan diri melalui pelbagai inisiatif yang disediakan. Sektor luar bandar pula terus dibangunkan sebagai sebahagian daripada pemangkin utama penjanaan kemakmuran negara.
Bajet 2022 yang dibentangkan di Parlimen, Jumaat lalu, juga terus membawa pendekatan serupa. Sama seperti yang terkandung dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), 27 September lalu, rakyat di setiap segmen mendapat peluang menikmati kemakmuran bersama.
Inklusif bermakna tiada segmen masyarakat yang ketinggalan. Malah semua pihak berpeluang memajukan diri seterusnya membina kejayaan sedaya mungkin. Agenda bumiputera merupakan antara agenda utama dalam pembangunan sosioekonomi negara kerana populasi kaum bumiputera adalah lebih tinggi, iaitu 69.8 peratus berbanding kaum-kaum lain seperti Cina (22.4 peratus), India (6.8 peratus) dan lain-lain (1 peratus).
Peratusan ini berdasarkan laporan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2021 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Struktur penduduk ini menentukan corak permintaan, penawaran dan penggunaan dalam negara. Oleh itu, kaum bumiputera akan terkesan jika strategi pembangunan mereka tidak diambil kira dalam pembangunan negara kerana kebanyakan kaum bumiputera tergolong dalam kumpulan pendapatan 40 peratus terendah (B40).
Syukurnya, pelan tindakan pembangunan kerajaan dalam mengimbangi peluang kemakmuran ini mendapat sokongan banyak pihak. Hanya pihak-pihak yang meletakkan kepentingan yang ‘keterlaluan’ menolak konsep sederhana dan keadilan untuk semua. Lebih malang, ada pihak yang mempertaruhkan ‘kekeruhan antara kaum’ sebagai modal meraih sokongan politik.
Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) ternyata banyak merubah kehidupan kaum bumiputera. Sebelumnya mereka kurang berpeluang mendapat pendidikan, menyertai perkhidmatan awam dan meningkatkan penyertaan dalam sektor ekonomi. Hidup tanpa kemajuan terdedah kepada aliran pemikiran negatif serta rapuh untuk ‘bermusuh-musuhan.’ Namun, ternyata DEB merupakan antara strategi berkesan menghamonikan keadaan.
Melihat lebih jauh kesan kebaikan daripada strategi perancangan pembangunan negara dalam mengimbangi taraf sosioekonomi di antara bumiputera dan bukan bumiputera ialah melalui penurunan kadar pengangguran. Selepas 1970, lebih ramai bumiputera diberi peluang untuk pendidikan, latihan dan pekerjaan serta melibatkan diri secara aktif dalam sektor ekonomi dan perkhidmatan awam.
MARA, UITM, PENERAJU
Peluang itu telah menyumbang kepada penurunan kadar kemiskinan kaum bumiputera daripada 64.8 kepada 7.2 peratus pada 2019. Namun begitu, kadar kemiskinan kaum bumiputera di kawasan luar bandar adalah tinggi, iaitu pada 12.4 peratus berbanding 3.8 peratus di kawasan bandar.
Berdasarkan laporan Pendapatan Isi Rumah, kemiskinan dan perbelanjaan isi rumah yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, purata pendapatan kaum bumiputera juga didapati lebih rendah sama ada di bandar atau di luar bandar.
Kaum bumiputera didapati memiliki harta dan ekuiti yang lebih rendah berbanding bukan bumiputera. Kadar pemilikan ekuiti kaum bumiputera menurun daripada 22 peratus pada 2008 kepada enam peratus pada 2015. Kadar ini adalah lebih rendah berbanding pemilikan ekuiti bukan bumiputera, pemilikan asing dan nomini yang telah meningkat 78 peratus kepada 84 peratus.
Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan bumiputera, namun masih terdapat isu berkaitan kaum itu yang masih memerlukan tindakan penambahbaikan. Tumpuan di era 1970 ke 2020 adalah menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam.
Hala tuju pembangunan sosioekonomi kaum bumiputera di era pasca 2020 pula akan tertumpu kepada tiga teras utama, iaitu peningkatan penyertaan dalam sektor ekonomi, pembangunan sumber manusia serta kadar pemilikan ekuiti, aset dan harta.
Justeru, tidak hairanlah melalui Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan RM11.4 bilion yang akan disalurkan menerusi pelbagai inisiatif bagi memperkasakan agenda bumiputera. Daripada jumlah itu, sebanyak RM6.6 bilion akan disalurkan bagi kemudahan pendidikan anak-anak bumiputera di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Yayasan Peneraju (Peneraju).
Sebanyak RM4.8 bilion pula diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiyaan perniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN) dan dana kemakmuran bumiputera.
Bagi melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam kalangan bumiputera, kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi pinjaman pendidikan dan menaik taraf program sijil dan diploma. Matlamatnya untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang-bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan.
Bersyukur dan rebutlah peluang yang ada. Sayangi Malaysia sambil menikmati kemakmurannya bersama. Sama rasa, sama jaya!
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.










