PETALING JAYA: Bajet 2022 perlu mengutamakan usaha meningkatkan keupayaan kuasa beli rakyat dalam merancakkan semula ekonomi negara yang diramal lebih baik pada tahun depan.
Pakar-pakar ekonomi berpendapat, bantuan kewangan kepada golongan terjejas antaranya kumpulan B40, M40 di samping geran perniagaan serta pembiayaan mikro perlu diteruskan.
Pembinaan kapasiti dari sudut latihan dan keusahawanan perlu diperkasakan terutama kepada golongan belia untuk mencapai tahap lebih tinggi dalam mengadaptasikan ekonomi digital.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dr. Abd. Halim Husin berkata, bantuan itu mampu merancakkan ekonomi negara memandangkan rakyat kurang berbelanja kerana kekangan kewangan yang akhirnya memberi kesan kepada peniaga.
Katanya, antaranya menambah bantuan RM1,000 melibatkan penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk setiap isi rumah dalam tempoh empat bulan bermula Januari depan.
“Bajet 2022 wajar dilakukan secara menyeluruh dan melibatkan seluruh masyarakat bukan sahaja para peniaga, malah termasuk golongan B40 dan M40 kerana ia dapat meningkatkan kuasa membeli dan mampu merancakkan semula ekonomi negara.
“Kerajaan wajar memberikan bantuan upah pekerja RM250 kepada majikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai 70 peratus tenaga kerja tempatan melibatkan pekerja pendapatan bawah RM4,000 bermula Januari hingga September 2022 bagi meringankan kos kehidupan ditanggung mereka.
“Selain itu, bantuan secara tunai RM1,000 sebulan perlu disalurkan kepada bekas pesakit Covid-19 yang tidak boleh bekerja kerana menghidap long Covid-19.
“Malah bantuan RM50 sebulan dalam bentuk e-wallet kepada pelajar sekolah dengan ibu bapa berpendapatan bawah RM3,000 untuk membeli pelitup muka dan vitamin bagi menjamin kesejahteraan kesihatan mereka selepas kembali ke sekolah,” katanya di sini, semalam.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka membentangkan Bajet 2022 pada Jumaat ini yang akan menangani isu-isu fiskal dan meletakkan fokus kepada prinsip 3M memulih kehidupan, membina semula daya tahan dan memangkin pembaharuan.
Menyentuh bantuan bukan tunai, Abd. Halim mencadangkan agar belanjawan dapat memberikan moratorium hutang tanpa faedah diberikan ke atas semua jenis pinjaman kecuali hutang kad kredit yang bermula 1 Oktober hingga 31 Disember sekiranya jumlah hutang pokok keseluruhan tidak lebih RM1 juta termasuk mereka mempunyai tunggakan lebih 180 hari.
Dalam pada itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Afzanizam Abdul Rashid berkata, fokus utama kerajaan ialah merancakkan kegiatan ekonomi negara.
Justeru, bantuan kewangan kepada golongan B40, M40, geran perniagaan serta pembiayaan mikro perlu diteruskan.
“Kerajaan perlu mengutamakan peningkatan tahap ekonomi negara jika mahu terus bergerak ke arah masa depan yang lebih baik. Selain itu, pembinaan kapasiti terutamanya dari sudut latihan dan kursus keusahawanan perlu dilaksanakan, termasuk memastikan belia yang berniaga boleh mencapai potensi mereka ke tahap lebih tinggi dari sudut mengadaptasi ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata, sebaiknya kerajaan mewujudkan pusat sehenti bagi belia untuk mengakses latihan yang diperlukan mereka untuk mengembangkan perniagaan kerana ia lebih bersifat berdaya saing.
Pensyarah Kanan City University Malaysia. Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob mencadangkan pelepasan cukai individu dinaikkan daripada kadar ditetapkan sebelum ini iaitu RM2,500 bagi mengurangkan beban golongan M40 yang turut kesan akibat Covid-19.
Katanya, langkah berkenaan secara tidak langsung dapat memberikan ruang kepada mereka untuk menggunakan pendapatan untuk menabung dan menampung kehidupan serta berbelanja dengan akhirnya dapat membantu menjana pendapatan negara.
“Malah institusi kewangan seperti bank perlu menghapuskan kadar faedah bagi peminjam yang moratorium baru-baru ini atau mengurangkannya. Kita faham bank perlu pendapatan, tetapi kini masanya untuk membantu pelanggan yang selama ini menjana pendapatan mereka.
“Berdasarkan konsep Keluarga Malaysia iaitu tiada golongan perlu terlepas dan terpinggir, maka bank perlu membantu kerajaan untuk menghapuskan faedah penangguhan pinjaman,” jelasnya. – UTUSAN










