MELAKA: Penetapan prosedur operasi standard (SOP) khas negeri bagi pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN), kini di peringkat akhir sebelum diumumkan minggu depan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad berkata, perbincangan mengenai garis panduan itu hanya berbaki kira-kira 20 hingga 25 peratus untuk dimuktamadkan.
Jelasnya, penetapan tersebut membabitkan penambahbaikan yang dibuat bersama beberapa agensi lain di peringkat negeri termasuk Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendidikan.
“Kita boleh kata perbincangan mengenai SOP khas ini telah mencapai 75 peratus sehingga 80 peratus.
“Kita mengambil kira pelbagai aspek dalam perbincangan itu termasuk tinjauan cuaca, pendidikan dan input daripada sektor pelancongan di negeri ini. Mengenai sejauh mana pematuhan SOP oleh masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pakej Pelancongan Pit Stop Melaka River Cruise di Taman Rempah, Banda Hilir, di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, PRN Melaka mungkin tidak akan membenarkan ceramah dan jelajah mesra (walkabout), sebaliknya segala bentuk kempen perlu dibuat secara dalam talian menggunakan media sosial.
Itu antara prosedur operasi standard (SOP) yang sedang diperhalusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman.
Menurutnya, satu SOP khas menghadapi pelaksanaan PRN juga akan dikeluarkan kerajaan negeri dalam masa terdekat yang merupakan penambahbaikan kepada garis panduan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR dan MKN berkaitan kempen serta hari pengundian.
“Kita akan kaji SOP yang dikeluarkan SPR, kalau ada penambahbaikan kita akan buat di peringkat Mesyuarat Pengurusan Covid-19 negeri minggu hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











