MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan mengakui tidak yakin berentap sebagai calon Bebas di kerusi disandangnya, andai Pakatan Harapan (PH) tidak mencalonkannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nor Azman menjelaskan, beliau bersedia mencari tiket parti lain, namun masih menaruh keyakinan blok pembangkang itu tidak akan menolaknya.
Jelasnya, ini kerana kenyataan Majlis Presiden PH secara jelas menyatakan, hanya seorang sahaja ADUN yang ditolak iaitu Datuk Norhizam Hassan Baktee.
“Menjadi calon Bebas sangat sukar untuk menang. Saya akan cari tiket lain jika PH tidak mahu saya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.
“Berdasarkan kenyataan semalam, saya bersama ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad jelas diterima. Hanya ADUN Pengkalan Batu ditolak. Kita tunggu dalam masa terdekat sama ada hujung minggu ini atau minggu depan,” katanya ketika dihubungi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Nor Azman selaku muka baharu berjaya memenangi DUN Pantai Kundor dengan majoriti tipis 772 undi.
Beliau menewaskan calon Pas, Abdul Halim Maidin dan calon PH, Juhari Osman di kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) itu.
Akhbar ini turut difahamkan, UMNO bakal menempatkan salah seorang pemimpin utamanya untuk berentap di Pantai Kundor pada PRN 20 November ini.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas tindakan komuniti nelayan Tanjong Kling yang dilaporkan menolaknya, Nor Azman mendakwa, ia sebenarnya didalangi pihak tertentu.
Jelasnya, perasaan tidak puas hati itu timbul susulan beberapa keputusan tegas dibuatnya melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang tidak disenangi individu berkenaan.
“Walaupun kalah dalam pemilihan UMNO Bahagian Tangga Batu, saya tetap melantik individu tersebut untuk mengisi jawatan Pengerusi JPKK. Saya dimaklumkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Melaka Tengah, dia tidak mengadakan mesyuarat dan menyiapkan minit mesyuarat JPKK.
“Sebanyak 11 daripada 12 JPKK tidak ada masalah dan sentiasa bekerjasama erat dengan ADUN kawasan. Sebab itu saya terpaksa pecat dia kerana tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










