Peniaga roti canai di Perlis mengeluh harga barang mentah mahal - Utusan Malaysia

Peniaga roti canai di Perlis mengeluh harga barang mentah mahal

ZAINI Ensop antara peniaga roti canai di Arau yang terkesan akibat kenaikan harga barang mentah di Perlis. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Peniaga roti canai di negeri ini mengeluh tidak mampu meraih keuntungan berikutan kenaikan harga barang mentah.

Mereka mendakwa perniagaan hanya sekadar ‘balik modal’ sehingga menyukarkan untuk bangkit selepas terkesan semasa Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Peniaga roti canai dari RPA Arau, Zaini Ensof, 40, berkata, barang seperti susu, marjerin, te­lur, kacang dal, tepung, minuman koko dan kopi mengalami ke­naikan sejak September lalu.

Katanya, harga susu RM2.10 naik kepada RM2.40; kacang dal dari RM2.90 sekilogram naik kepada RM3.40; marjerin dari RM5.10 bagi sekilogram naik kepada RM5.40 serta telur dari RM9 sepapan meningkat kepada RM12.

Katanya, jika sebelum ini modal harian perniagaan sekitar RM200 namun selepas kenaikan dia perlu menambah lebih RM100.

Menurutnya, harga minuman koko dan beg plastik juga naik dari RM16 sekilogram meningkat kepada RM18 manakala beg plastik dari RM12 sehingga RM15.

“Meskipun harga barang naik, kami tidak menaikkan harga makanan dan minuman kerana tidak mahu menyusahkan pe­langgan.

“Saya tetap menjual roti canai RM1 sekeping meskipun pada masa ini harga barangan menunjukkan peningkatan. Harga mula naik sejak September lalu dan kami pun tidak tahu apa punca­nya,” katanya.

Seorang lagi peniaga roti canai, Nor Irwan Kamis, 40, berkata, dia terkesan memandangkan roti canai yang dijualnya dibekalkan di asrama-asrama sekolah dengan harga tetap RM0.80 sekeping.

Katanya, kebelakangan ini, harga marjerin naik dari RM5.50 kepada RM8 bagi sekilogram manakala tepung daripada RM13.50 sekotak meningkat kepada RM17.

“Bila jadi begini, memanglah terjejas teruk seolah-olah seperti tolong buat saja tanpa untung. Semalam sebagai contoh, bagi 350 biji roti canai, saya hanya untung RM30,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×