KUANTAN: Sektor pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian memerlukan khidmat warga asing kerana kesanggupan mereka bekerja berat dengan upah yang rendah.
Walaupun kerajaan menggalakkan majikan membuka lebih banyak peluang pekerjaan itu kepada kalangan rakyat tempatan, tetapi sambutan yang diterima amat rendah.
Rakyat tempatan masih merungut tentang tugas yang berat dan bayaran upah rendah serta berisiko tinggi terutama dalam sektor pembinaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Noraina Mazuin Sapuan berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga membawa kepada penutupan semua sektor ekonomi bukan perlu, ramai pekerja asing ditamatkan atau tidak disambung kontrak.
Katanya, justeru ramai secara sukarela meninggalkan negara ini dan ada hilang berkemungkinan bekerja di sektor tidak formal yang tidak berdaftar di bawah majikan sah.
“Sekatan perjalanan semasa PKP turut memburukkan keadaan kekurangan pekerja asing yang boleh memasuki negara ini untuk bekerja.
“Tambahan pula, tarikan ekonomi negara lain yang pesat berkembang seperti Vietnam turut menyumbang kepada penurunan rakyat negara tersebut untuk bekerja di Malaysia.
“Maka, dengan kurangnya penawaran tenaga kerja asing ini menyebabkan industri pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian tidak dapat beroperasi pada kapasiti penuh,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, kira-kira 400,000 pekerja warga asing meninggalkan negara ini akibat Covid-19 sejak awal tahun lalu dan 200,000 lagi gagal dikesan ekoran kehilangan pekerjaan kerana penutupan sektor ekonomi.
Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi dilaporkan berkata, agensi tersebut sebelum ini merekodkan jumlah pekerja asing yang berdaftar seramai 1.9 juta orang.
Mengulas lanjut, Noraina Mazuin berkata, merapatkan jurang permintaan dan penawaran terhadap pekerja asing perlu diteliti semula selepas semua sektor ekonomi kembali beroperasi sepenuhnya. – UTUSAN










