SUARA anak muda semakin didengari. Kini peluang untuk membawa suara kita ke peti-peti undi kian cerah. Nescaya, ada kemungkinan saya dan ramai lagi rakan akan menempa sejarah kerana buat pertama kali kami yang berusia 18 tahun akan dapat mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Jika ini berlaku, seramai 5.8 juta pengundi baharu yang bakal didaftarkan secara automatik akan layak mengundi. Maka, ramai yang menjangkakan berlaku tsunami anak muda dalam PRU-15 jika ramai daripada mereka keluar mengundi.
Kuasa mengundi datang bersama-sama tanggungjawab yang sangat berat. Kita mesti membuat pilihan tepat kerana calon dan parti yang menang akan menentukan corak pemerintahan negara serta untung nasib rakyat.
Perkara paling utama ialah kita mesti keluar mengundi. Apa gunanya mendapat kuasa mengundi jika kita tidak ambil peduli dan hanya duduk goyang kaki di rumah pada hari mengundi? Jangan pula mereka yang selama ini lantang bercakap tentang sistem demokrasi pun memandang enteng tanggungjawab ini.
Lumrah orang muda, sering bertindak ikut emosi tanpa berfikir panjang. Ada yang kerana marahkan nyamuk, sanggup bakar kelambu. Tambahan pula, tanpa memahami selok-belok permainan politik adalah senang untuk kita dipengaruhi oleh propaganda yang belum tentu benar atau tidak.
Justeru, kita mesti bersikap cermat, rasional dan berhati-hati sebelum bertindak. Kita juga harus bijak menangani permainan persepsi. Calon yang popular di media sosial tidak semestinya boleh jadi wakil rakyat yang baik dan bertanggungjawab. Begitu juga dengan janji-janji politik yang ditaburkan, belum tentu benar dan akan dikotakan jika calon atau parti yang kita undi itu menang.
RASA HATI
Sering kali pengundi muda mahukan calon muda hanya semata-mata kerana mereka ialah orang muda, tanpa memberi pertimbangan kebolehan dan pengalaman memimpin calon tersebut.
Padahnya jika tersilap langkah, kita akan mengangkat seorang calon muda yang popular tetapi tidak berwibawa dan gagal memikul tanggungjawab untuk menjaga rakyat dan membina negara.
Kita anak muda selalunya terlalu mengharapkan suatu keadaan yang sangat ideal dan mahukan proses penyelesaian masalah secara drastik tanpa mengambil kira kesan sampingan serta kesan jangka panjang sesuatu tindakan.
Berfikirlah secara matang kerana sikap idealistik tidak rasional bukanlah satu ramuan yang baik untuk dijadikan adunan dalam merangka sesuatu dasar atau strategi. Kita harus sedar, dalam membina negara, kita tiada ruang untuk proses cuba-ralat.
Setiap dasar yang gagal akan mengakibatkan kerugian sangat besar yang harus ditanggung seluruh rakyat. Maka jangan kita buka ruang untuk kegagalan kerana yang kecil sekali pun boleh memberi impak negatif kepada rakyat dalam skala besar. Hakikatnya, kesilapan pengundi dalam membuat pilihan boleh mengakibatkan ketidakstabilan politik yang boleh menghancurkan negara.
Bagi saya, Undi18 bukan sekadar memberi kuasa kepada orang muda untuk membuat pilihan, tetapi mengalungkan kita tanggungjawab sangat besar, iaitu menentukan masa hadapan negara bangsa.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.










