Gagal jual AS$2.6 bilion pegangan - Utusan Malaysia

Gagal jual AS$2.6 bilion pegangan

KRISIS hutang yang dialami oleh Evergrande, syarikat pemaju hartanah kedua terbesar China, memaksa kerajaan campur tangan bagi mengelak kesan lebih besar kepada ekonomi negara itu. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saham Evergrande merosot 14 peratus
HONG KONG: Saham Evergrande Group jatuh 14 peratus semalam selepas syarikat hartanah China itu gagal menjual pegangannya bernilai AS$2.6 bilion (RM10.81 bilion) kepada pesaingnya.

Ia merupakan masalah terbaharu yang menimpa syarikat itu selepas isu hutangnya menggemparkan pasaran global.

Rabu lalu, Evergrande mengumumkan pembatalan perjanjian jualan pegangan sebanyak 50.1 peratus dalam Evergrande Property Services Group Ltd. kepada Hopson Development Holdings Ltd. kerana pesaingnya itu gagal memenuhi keperluan awal untuk membuat tawaran umum.

Kedua-dua pihak saling menyalahkan apabila Hopson berkata, pihaknya tidak dapat menerima bahawa pembatalan perjanjian jualan tersebut tidak mempunyai apa-apa kandungan langsung.

Menurut Hopson, pihaknya sedang meneroka pilihan lain untuk melindungi kepentingan sahnya.

Jualan tersebut merupakan kegagalan kedua Evergrande dalam beberapa hari selepas Reuters melaporkan dengan memetik sumber bahawa jualan ibu pejabat syarikat itu di Hong Kong bernilai AS$1.7 bilion (RM7.07 bilion) turut gagal.

Menurut sumber tersebut, ia gagal kerana pembeli bimbang dengan kedudukan kewangan Evergrande yang tenat.

Segalanya berlaku ketika Evergrande semakin hampir dengan tarikh luput tempoh tangguh 30 hari bayaran kuponnya sebanyak AS$83.5 juta (RM347.23 juta) kepada sebuah bon luar pesisir.

Jika gagal membayar, syarikat itu akan dikira mungkir.

Dagangan saham Evergrande, unit perkhidmatan hartanahnya dan Hopson disambung semalam selepas lebih dua minggu penggantungan.

Saham Evergrande mengurangkan kerugian pembukaan dan jatuh enam peratus ketika dagangan awal manakala unit perkhidmatan hartanahnya menyusut 5.7 peratus. Saham Hopson merosot 0.3 peratus.

Pernah menjadi pemaju hartanah paling berjaya dan kini bergelut dengan hutang AS$300 bilion (RM1.25 trilion), pegawai kerajaan China terpaksa membuat penjelasan bahawa isu Evergrande masih di dalam kawalan dan tidak akan menyebabkan krisis kewangan yang lebih besar. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×