Harga minyak merosot - Utusan Malaysia

Harga minyak merosot

Harga minyak merosot kira-kira dua peratus pada Isnin berikutan peningkatan kes varian Covid-19, Omicron di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Harga minyak turun berikutan tindakan kerajaan China mencari cara bagi mengurangkan harga arang batu yang tinggi di samping memastikan lombong arang batu beroperasi dengan kapasiti penuh ketika Beijing berusaha meredakan kekurangan tenaga.

Harga arang batu China dan komoditi lain merosot pada awal perdagangan, seterusnya menurunkan harga minyak dari kenaikan pada awal sesi dagangan.

Penganalisis komoditi Commonwealth Bank, Vivek Dhar berkata, pasaran minyak telah mencapai tahap tertinggi dalam beberapa tahun awal minggu ini berikutan krisis arang batu dan gas global, yang mendorong peralihan ke diesel dan minyak bakar untuk penjanaan tenaga.

“Pada akhirnya, pengeluaran arang batu China perlu meningkat untuk mengatasi masalah tenaganya,” katanya.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) jatuh 30 sen kepada AS$82.24 (RM342.12) setong, selepas mencatat sebahagian besar kenaikan 52 sen kelmarin.

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 43 sen kepada AS$84.36 (RM350.94) setong, selepas kenaikan 75 sen pada sesi sebelumnya.

Majlis Tenaga Elektrik China memaklumkan, Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional China (NDRC) membincangkan campur tangan kerajaan dalam harga arang batu pada mesyuarat pengeluar arang batu utama.

Dalam kenyataan berasingan, NDRC memberitahu akan memastikan lombong arang batu beroperasi dengan kapasiti penuh dan bertujuan untuk mencapai sekurang-kurangnya 12 juta tan sehari, yang akan meningkat lebih dari 1.6 juta tan dari akhir September.

Pasaran juga ditekan data dari kumpulan industri Institut Petroleum Amerika yang menunjukkan stok minyak mentah AS meningkat 3.3 juta tong untuk minggu berakhir pada 15 Oktober, menurut sumber pasaran.

Ia jauh daripada ramalan sembilan penganalisis untuk kenaikan 1.9 juta tong dalam stok minyak mentah, dalam tinjauan Reuters.

Walau bagaimanapun, inventori petrol dan penyulingan AS, yang merangkumi diesel, minyak pemanasan dan bahan bakar jet, jatuh jauh lebih banyak daripada yang diunjurkan oleh penganalisis, menunjukkan permintaan yang tinggi.

Stok petrol turun 3.5 juta tong berbanding jangkaan penganalisis untuk penurunan sekitar 1.3 juta tong, sementara stok sulingan turun sebanyak tiga juta tong, berbanding jangkaan penurunan 700,000 tong. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×