BENGALURU: Ringgit mendahului kenaikan mata wang Asia lain dalam sesi dagangan semalam, ketika kerajaan China berusaha menyokong sektor harta tanah negara itu.
Ringgit yang kembali didagangkan semalam selepas cuti umum, mengukuh pada paras terbaik dalam tempoh lebih sebulan.
Mata wang itu mengukuh pada kira-kira 1.9 peratus dalam dua bulan ini.
Semalam, ringgit diniagakan pada kadar 4.1560/1615 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.1590/1715 pada Isnin.
Sementara itu, aliran keluar bon telah menjejaskan baht Thailand. Baht Thailand melemah 0.5 peratus akibat aliran keluar berterusan bon berdaulat negara itu.
Hasil daripada kertas kerajaan untuk tempoh 10 tahun meningkat 15 mata asas kepada 2.03 peratus bulan ini sahaja.
Ia menjadikan baht Thailand mata wang Asia dengan prestasi terburuk setakat ini, selepas turun kira-kira 10.3 peratus.
“Pelabur asing mengurangkan pegangan bon mereka di tengah kebimbangan mengenai penawaran hutang yang lebih tinggi setelah Thailand meningkatkan siling hutang awam pada September untuk membiayai defisit fiskal dan perbelanjaan Covid-19,” menurut penganalisis Barclays.
Dalam pada itu, dolar Taiwan, won Korea Selatan dan dolar Singapura turut mengukuh antara 0.2 peratus dan 0.4 peratus ketika dolar AS melemah berikutan peningkatan pendapatan korporat AS.
Suasana positif menyaksikan kadar bon AS meningkat, dengan hasil Perbendaharaan 10 tahun naik ke paras tertinggi dalam tempoh lima bulan sebanyak 1.673 peratus.
Bank China menyuntik 100 bilion yuan (AS$15.65 bilion/ RM65.10 bilion) ke dalam sistem perbankan, dengan beberapa penganalisis meramalkan langkah pelonggaran yang lebih disasarkan akan dilancarkan dalam beberapa bulan mendatang untuk menenangkan sektor hartanah yang bermasalah di negara itu.
Yuan menokok ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan kepada 6.379 berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan, sebelum aktiviti mengambil untung. – AGENSI










