Dolar lemah, mata wang Asia mengukuh - Utusan Malaysia

Dolar lemah, mata wang Asia mengukuh

MATA wang Asia meningkat, mengambil peluang kelemahan dolar Amerika Syarikat pada sesi dagangan semalam. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGALURU: Rupiah Indonesia stabil dalam sesi dagangan semalam, menjelang mesyuarat bank pusat negara itu.

Pada masa yang sama, semua mata wang Asia mengukuh berbanding dolar yang semakin lemah disebabkan penurunan sektor pembuatan di Amerika Syarikat (AS).

Mata wang Korea Selatan, won dan baht Thailand mendahului kenaikan dengan masing-masing naik 0.4 peratus. Turut naik ialah peso Filipina, dolar Singapura dan dolar Taiwan.

Indeks dolar, yang mengukur dolar AS terhadap enam saham, merosot kerana output kilang AS pada September menjadi perlahan disebabkan kekurangan cip global dan kesan taufan yang melanda negara itu.

Rupiah naik 0.2 peratus kepada 14,080 berbanding dolar ketika para pelabur menantikan mesyuarat Bank Indonesia (BI) mengenai dasar monetari yang dijangka mengekalkan kadar faedah untuk terus menyokong pemulihan ekonomi negara itu.

“Fokus kerajaan adalah pada reformasi cukai dan pembukaan semula ekonomi untuk industri pelancongan yang turut meningkatkan prospek pemulihan,” kata penganalisis Mizuho dalam satu catatan.

Walau bagaimanapun, bursa saham Jakarta turun 0.6 peratus dari paras tertinggi selepas mengalami kenaikan dalam enam sesi berturut-turut sebelum ini.

Bursa Filipina pula melonjak sebanyak 1 peratus untuk menjadi saham paling untung, disokong oleh kaunter AC Energy Corp yang meningkat 8 peratus selepas mencapai sejumlah perjanjian yang akan menyaksikan penjana kuasa berhenti menggunakan arang batu termal pada 2025.

Bursa saham Shanghai turut melonjak lebih tinggi dengan yuan China naik 0.3 peratus kepada 6.41 berbanding dolar, melepasi paras tertinggi yang pernah direkodkan pertengahan Jun lalu.

Urus niaga bursa Malaysia ditutup semalam kerana cuti umum. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×