MELAKA: Pas negeri terkejut dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memperuntukkan masa sehari untuk membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November depan.
Pesuruhjayanya, Datuk Kamarudin Sidek berkata, ini kerana sebelum ini terdapat ura-ura mengatakan bahawa PRN akan diadakan dalam tempoh dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad.
Menurut beliau, berdasarkan tinjauan pendapat orang ramai, mereka mengharapkan PRN ditangguhkan kerana bimbang penularan Covid-19 akan kembali meningkat.
“Mereka bimbang Covid-19 akan menular dalam masyarakat selepas PRN. Melaka sedang menuju ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan baru merasai nikmat bebas daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita tidak mahu peratusan yang keluar mengundi nanti akan merosot kerana rakyat khuatir untuk keluar mengundi. Kalau ini terjadi sudah pasti parti-parti yang bertanding akan rugi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, SPR menetapkan hari penamaan calon PRN Melaka pada 8 November, pengundian awal pada 16 November dan hari pengundian pada 20 November.
Daftar pemilih yang dikemaskini setakat 3 Oktober lalu merekodkan Melaka mempunyai 495,196 pengundi.
Sementara itu, Kamarudin yang juga Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka menambah, pihaknya masih menunggu perbincangan bersama antara Pas Pusat dan rakan komponen dalam PN serta UMNO mengenai agihan kerusi.
Jelasnya, perbincangan itu hanya melibatkan kepemimpinan tertinggi parti.
“Kalau boleh kita mahu pertandingan satu lawan satu untuk menentang Pakatan Harapan (PH). Bagaimanapun, soal agihan kerusi ini belum dimuktamadkan dan saya berpandangan parti-parti lain pun begitu juga.
“Kita akan berbincang secara serius mengenai perkara ini. Secara keseluruhan, Pas Melaka sudah bersedia untuk menghadapi PRN kali ini,” ujarnya. – UTUSAN










