Siasat bocor perbualan telefon - Utusan Malaysia

Siasat bocor perbualan telefon

PERBUATAN mendedahkan percakapan peribadi pihak tertentu tidak dapat dinafikan ada kaitan dengan nilai kepercayaan. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBOCORAN rakaman mengandungi perbualan telefon pihak tertentu, antaranya golongan pemimpin yang boleh dikatakan semakin acap kebelakangan ini hendaklah disiasat segera agar perbuatan terkutuk ini dapat dibendung daripada terus berlaku dengan wewenangnya. Siasatan ini bukan sahaja penting untuk melindungi ruang peribadi, iaitu hak asasi untuk bersendirian bagi pelbagai tujuan termasuklah perbuatan kita yang tidak mahu diketahui umum sama ada baik atau sebaliknya.

Sama penting, ia menyalahi etika iaitu kepercayaan dan peraturan mengenai tindakan dan kelakuan baik dalam masyarakat selain bertentangan dengan moral yakni prinsip dan nilai pada seseorang itu berkenaan kebaikan dan keburukan. Di samping ini, lebih penting lagi ialah soal kerahsiaan, iaitu sesuatu yang hanya boleh diketahui pihak tertentu dan sama sekali tidak boleh diberitahu kepada yang lain.

Dalam pada itu, kerahsiaan berkait rapat sekali dengan nilai kepercayaan, yakni iktikad seseorang diyakini tidak akan membongkarkannya. Sehubungan ini, kepercayaan bukan sahaja nilai penting dalam kehidupan kita, ia nilai teras kerana didapati wujud pada setiap ehwal sosial manusia.

Dalam hal ini, meletakkan kepercayaan pada seseorang itu adalah tindakan penting, tindak balas moral dan juga luahan solidariti sosial.

Namun, ia didapati sering dicabul di negara ini oleh kalangan yang bergelar pemimpin. Ini dapat dilihat pada kes pencabulan Akta Rahsia Rasmi 1972 pada individu tertentu dan peringatan setiausaha negeri tertentu tentang sumpah simpan rahsia dalam kalangan ahli politik semasa berlakunya kemelut politik di negeri berkenaan.

Sehubungan akta ini, sebenarnya ramai dalam kalangan mereka yang telah mengangkat sumpah semasa ikrar perkhidmatan dan lain-lain untuk menyimpan rahsia rasmi didapati banyak membongkarkannya. Ini dapat dilihat dengan pembocoran dokumen yang meskipun membawa label Rahsia Besar, Rahsia, Sulit dan Terhad, apatah lagi surat rasmi biasa.

Natijahnya di sini ialah kita hendaklah bertanggungjawab untuk menentukan titipan yang diberikan itu haruslah disimpan sebaik-baiknya. Ini kerana bukan sahaja perbuatan mendedahkan maklumat rahsia kerajaan itu boleh menjejaskan keselamatan negara, justeru menggugat kestabilannya. Ia sebenarnya juga adalah persoalan amanah, iaitu kepercayaan yang dipertanggungjawab kepada kita untuk dirahsiakan yakni tidak boleh sesekali diberitahu kepada sesiapa jua.

Namun, sebaliknya sering berlaku iaitu sesuatu rahsia itu diberitahu kepada pihak yang tidak berhak mengetahuinya. Dengan ini, kita mengkhianati kepercayaan yang diamanahkan dengan memecahkannya, yakni mendedahkan rahsia.

KAUNSELING

Oleh itu, mereka yang membongkarkan rahsia ialah mereka yang tidak beramanah. Mereka ini juga sebenarnya golongan yang memerlukan rawatan psikologi. Ini kerana mereka didapati tiada kebolehan langsung untuk menyimpan rahsia setelah baharu sahaja diamanahkan sedemikian.

Ini dapat dilihat apabila mereka dengan cepat sekali membongkarnya atas dalil hanya mereka memiliki keterangan itu, justeru mahu menjadi pihak pertama yang menyalurkan maklumat itu. Keinginan untuk menjadi pihak penting dalam menyalurkan maklumat inilah yang memerlukan mereka ini diberi kaunseling dan sebagainya.

Berbalik kepada pendedahan percakapan peribadi pihak tertentu, tidak dapat dinafikan ia ada kaitan dengan nilai kepercayaan. Sehubungan ini, kita sepatutnya menyedari peri pentingnya makna pelbagai hal. Antaranya ialah peribadi, sulit, persendirian dan rahsia. Apabila sesuatu itu bersifat peribadi, ini bermakna ia milik seseorang atau sesebuah kumpulan dan bukannya untuk penggunaan atau pengetahuan pihak lain, apatah lagi masyarakat umum.

Sulit pula membawa makna ia bukan untuk pengetahuan awam atau sebarang pihak. Persendirian pula bermakna tiada hasrat untuk perkongsian dengan pihak lain kecuali untuk hanya diri sendiri dan kumpulan terbabit. Rahsia merujuk kepada perbuatan tidak sesekali menghebahkan sesuatu itu kepada pihak lain.

Nampaknya kesemua hal ini langsung tidak difahami mereka yang terlibat dengan pendedahan perbualan telefon itu yang hanya mempunyai niat tertentu untuk memenuhi nafsu serakah mereka seperti kepentingan diri dan kelompok serta kerakusan yang betul-betul haloba. Sudah tentu ia tingkah laku yang sangat tidak beretika dan bermoral yang amat-amat perlu dibendung sebelum menjadi budaya khususnya dalam arena politik kita.

Oleh itu, bukan sahaja siasatan perlu dijalankan secara tuntas lagi segera, tindakan sewajarnya hendaklah dikenakan kepada semua yang terlibat. Ini penting untuk memberi perlindungan kepada rakyat tentang ruang peribadi masing-masing agar tidak dicerobohi sesiapa jua dalam sebarang bentuk.

Sehubungan ini, ruang peribadi kita bukan sahaja hak asasi kita, ia juga maruah kita sebagai manusia. Oleh itu, menjadi kewajipan kerajaan untuk melindunginya bagi pihak rakyat untuk menjaga moraliti awam. Sehubungan ini, amat tidak wajar mana-mana pihak mendedahkan ruang peribadi pihak lain untuk apa-apa jua tujuan.

Ia sepatutnya dilakukan dengan cara lebih bertanggungjawab jika berupa bahan bukti sesuatu salah laku di sisi perundangan negara dan bukan sesekali melalui cara pembocoran seperti yang telah berlaku. Ini kerana selain mengaibkan pihak terbabit pada ruang peribadi mereka, ia juga boleh mengancamkan keselamatan tanah air jika ikut membabit urusan pemerintahan negeri apatah lagi negara.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×