MUKADIMAH
Mungkin ramai yang tidak tahu Urusan Teknologi Wawasan Sdn. Bhd. (UTW) merupakan sebuah syarikat di bawah naungan kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Bagaimanapun, sebagai anak syarikat kepada MAHB, nama UTW sudah tidak asing dalam bidang penyediaan perkhidmatan, penyelenggaraan dan pengurusan kemudahan bangunan.
Ditubuhkan pada 25 Mac 1998, kini UTW mempunyai kira-kira 1,000 tenaga pekerja terlatih yang mahir dalam pelbagai bidang bukan sahaja diiktiraf di dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa. Sebagai sebuah syarikat yang dikenali, UTW sentiasa berada di landasan yang tepat untuk terus maju dan berdaya saing.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, Pengurus Besar UTW, NURSHUHAILA MOHD. AMIN berkongsi pencapaian syarikat tersebut dalam menyediakan kemudahan bertaraf antarabangsa bagi perkhidmatan pengurusan dan kejuruteraan termasuk penggunaan teknologi pintar dalam memaksimumkan prestasi aset sekali gus mengurangkan kos operasi dalam pengurusan kemudahan.

UTUSAN: Apa peranan UTW dalam MAHB dan jenis perkhidmatan utama yang dijalankan?
NURSHUHAILA: UTW ialah syarikat bumiputera yang telah diakreditasikan dalam pensijilan standard ISO 9001 Sistem Kualiti Pengurusan yang ditubuhkan untuk pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan di lapangan terbang dan juga merupakan anak syarikat naungan MAHB.
Semenjak beroperasi, syarikat ini telah memperluas perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan dalam pelbagai sektor di seluruh negara. Antara perkhidmatan yang dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 ialah penyelenggaraan sistem mekanikal, elektrikal, kejuruteraan awam, pengurusan troli dan pembersihan.
UTW turut menawarkan perkhidmatan pengurusan tenaga bagi seluruh lapangan terbang dan kemudahan lain di Malaysia.
Difahamkan UTW pernah menempa nama dalam kalangan syarikat multinasional terkemuka di Malaysia. Ada menyediakan perkhidmatan ke luar negara?
Ya, UTW ada menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai syarikat multinasional seperti Spirit AeroSystem Malaysia Sdn. Bhd., Cainiao KLIA Aeropolis, Airbus Helicopter (M) Sdn. Bhd., Airbus Helicopters Malaysia, KLCC Urusharta, dan Sime Darby Plantation.
UTW juga menyediakan perkhidmatan pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan sistem mekanikal, elektrikal dan kejuruteraan am (C&S) dan juga audit pemeriksaan bangunan untuk syarikat- syarikat ini.
Sebagai salah satu anak syarikat milik MAHB, UTW sentiasa aktif membantu MAHB untuk menyediakan perkhidmatan di luar negara. Antaranya, bekerjasama dengan MACS Middle East untuk perkhidmatan konsultansi dan juga audit pemeriksaan bangunan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Doha.
Bagaimana UTW dapat mengorak langkah daripada sebuah entiti kecil yang berjaya ke arena antarabangsa?
Pada peringkat permulaan, UTW hanya menyediakan penyelenggaraan bangunan dalam C&S bermula di KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor.
Setelah sekian lama menyediakan perkhidmatan ini, UTW membina kepakaran dalaman sebagai platform untuk dikembangkan dan melangkah ke segmen yang lebih luas iaitu dalam pengurusan kemudahan secara holistik yang menawarkan perkhidmatan lengkap yang lain seperti pembersihan, pengurusan troli, perkhidmatan keselamatan, kawalan serangga dan sebagainya di bawah satu bumbung.
Berdasarkan kompetensi dan pengalaman yang luas, UTW telah aktif menyertai dan menawarkan perkhidmatan secara pembidaan dan berjaya mendapatkan beberapa lagi kontrak daripada syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat swasta dalam pelbagai sektor seperti pengangkutan, komersial, pengilangan dan sebagainya.
Apakah kemahiran yang perlu ada pada seseorang kakitangan?
Tenaga Kerja UTW dilatih secara berterusan dalam menyelenggarakan bangunan dan memiliki sijil-sijil kompetensi dalam sistem elektrikal, mekanikal, kejuruteraan awam atau sivil dan juga dalam bidang pembersihan.
Kepakaran tenaga kerja UTW telah diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Suruhanjaya Tenaga, British Institute of Cleaning Science dan beberapa badan akreditasi yang berkaitan.
Bagaimana UTW menguruskan tenaga pekerja sepanjang pandemik?
Kemahiran dalam kalangan pekerja digunakan secara optimum untuk mengurangkan impak Covid-19. Semua kakitangan juga diberi latihan untuk bertugas dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerja seperti garis panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan serta Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MAHB.
Semua kakitangan UTW juga dimestikan mengambil vaksin dan hampir 97 peratus pekerja telah lengkap vaksin penuh. Ini bagi memastikan keselamatan pekerja dan tempat bekerja terjamin.
Sepanjang pandemik ini, kami mengatur selia tenaga kerja secara berjadual untuk memastikan setiap tugasan dan kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan sepenuhnya meskipun perlu mengikut jadual giliran bekerja terutama di waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Syarikat juga menjalankan penstrukturan semula di mana tenaga kerja yang perlu dikurangkan bagi memenuhi permintaan pengurangan kos daripada pelanggan ditempatkan di projek-projek baharu yang berjaya diperoleh pada tahun lepas dan tahun ini.
Secara kesimpulannya, pekerja syarikat masih berpeluang bekerja sepanjang waktu pandemik walaupun ditukarkan ke projek-projek lain.
Pencapaian terbaik UTW sejak beroperasi lebih 20 tahun lalu?
Syarikat ini telah mendapat pengiktirafan kedudukan skor lima bintang daripada CIDB berdasarkan kategori utama iaitu Kepimpinan Teladan, Penetapan Jenama, Kecemerlangan Keupayaan Pengurusan dan Teknikal, Pematuhan Amalan Terbaik, Sistem ICT Bersepadu dan Pengurusan Projek Cemerlang serta Aktif Mengeksport Perkhidmatan ke Pasaran Antarabangsa.
UTW juga telah mendapat pengiktirafan seperti Kontraktor Terbaik, Kualiti: Ketua Pasukan Terbaik, Prestasi Cemerlang dan Kerja Berpasukan, Sikap Individu Terbaik (Kakitangan), Amalan Keselamatan Terbaik serta Respons Terbaik dan Menunjukkan Pengetahuan Mengenai Perkhidmatan daripada pelanggan-pelanggan utama UTW.
UTW juga memiliki rekod kewangan yang kukuh dan memiliki prestasi kewangan yang cemerlang secara berterusan semenjak 1998 hingga ke hari ini.
Syarikat merekodkan kadar purata peratusan pendapatan yang memberangsangkan setiap tahun. Prestasi ini membolehkan UTW menjalankan operasi penyelenggaraan secara kos efektif dan memberi manfaat kepada para pelanggan UTW.
Akhir sekali, mungkin puan boleh berkongsi ilmu atau tips kepada organisasi di Malaysia dalam penyediaan perkhidmatan?
UTW sentiasa memastikan khidmat yang diberikan menepati kepuasan pelanggan. Khidmat yang disediakan perlu sentiasa berinovasi dan berdaya saing.
Bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa terbaik, UTW merangka pelan perniagaan yang komprehensif dan berdaya maju. Di dalam pelan ini juga, UTW memastikan semua kakitangan diberi latihan kompetensi yang bersesuaian dalam bidang yang berkaitan.
Selain itu, syarikat juga telah mengadaptasi teknologi yang berkaitan di dalam perkhidmatan yang diberikan bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan dalam setiap pelaksanaan. Selain itu, syarikat amat menitikberatkan integriti untuk setiap aspek pelaksanaan kerja dan juga pembidaan. – UTUSAN ONLINE










