Lima juta tidak dapat tunai umrah - Utusan Malaysia

Lima juta tidak dapat tunai umrah

Sebelum wabak Covid-19 muncul, hampir 300,000 umat Islam dari Malaysia mengerjakan umrah setiap tahun iaitu kelapan paling ramai dalam kalangan jemaah asing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hasrat hampir lima juta umat Islam dari seluruh negara untuk menunaikan ibadah umrah dijangka tidak kesampaian gara-gara suntikan vaksin Sinovac.
Perkara itu antara kebimbangan disuarakan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) susulan pengumuman pemansuhan MyTravelPass bermula 18 Oktober ini.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd. Sham ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, kerajaan Arab Saudi buat masa ini belum membenarkan kemasukan jemaah yang diimunisasi jenis vaksin tersebut.

Sebaliknya jelas beliau, pihak berkuasa negara itu hanya mem­beri kelonggaran kepada bakal jemaah umrah yang menerima dos penggalak daripada tiga jenis vaksin telah pun ditetapkan.

“Papuh berpandangan adalah lebih bagus dan mudah jika Kementerian Kesihatan dapat segera bertindak memberi vaksin penggalak kepada bakal jemaah umrah terlibat,” katanya.

Mengulas lanjut, Razali berkata, setakat ini hanya penerima dua dos vaksin jenis Comirnaty keluaran firma Pfizer BioNTech diberikan keutamaan untuk dos penggalak mulai Rabu lepas.

“Isu dos ketiga ini sebenar­nya adalah dalam bidang kuasa pihak negara kita berbanding jika kerajaan kita pula minta pihak Arab Saudi untuk melonggarkan syarat tertentu,” jelas beliau.

Sehubungan itu Papuh jelasnya, berharap pihak Kementerian Kesihatan akan dapat membuat keputusan terhadap nasib umat Islam yang divaksin jenis Sinovac dengan secepat mungkin.

Langkah segera itu katanya, amat perlu demi memberi peluang jemaah yang telah terkandas hampir dua tahun namun sekali lagi kecewa kerana disuntik vaksin keluaran China tersebut.

Papuh yang ditubuhkan sejak 2015 katanya, turut menerima rungutan kekesalan daripada lebih 400 agensi yang menjadi anggota badan itu ekoran isu Sinovac tidak diperakui oleh Arab Saudi.

Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Kesihatan ketika dihubungi berkata, setakat semalam, sejumlah 18,862,220 dos vaksin berkenaan atau dirujuk CoronaVac telah diberikan.

Bagaimanapun, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Co­vid-19 tidak merekodkan secara spesifik agama penerima vaksin tetapi dianggarkan lebih separuh daripadanya adalah umat Islam.

Isu itu turut diakui Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika sesi wawancara stesen RTM di ibu negara pada Rabu lalu dan dilaporkan akan cuba berunding pula dengan Arab Saudi.

Beliau sendiri secara teknikal dianggap tidak layak pergi ke Tanah Suci untuk umrah kerana muncul sebagai individu pertama yang disuntik vaksin Sinovac pada 18 Mac lepas.

Malaysia bagaimanapun mula menghentikan pemberian vaksin CoronaVac itu secara berfasa mulai akhir Julai lepas setelah lebih empat bulan menerima bekalan tersebut dari China.

Sebelum wabak Covid-19 muncul awal tahun lalu, hampir 300,000 umat Islam dari Malaysia mengerjakan umrah setiap tahun iaitu kelapan pa­ling ramai dalam kalangan jemaah asing. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN