Terowong kereta api lama miliki nilai sejarah - Utusan Malaysia

Terowong kereta api lama miliki nilai sejarah

PESERTA eksplorasi bergambar di hadapan satu daripada terowong kereta api lama di Bukit Berapit dekat Padang Rengas, Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG RENGAS: Sebuah terowong dan bangunan stesen kereta api lama yang mempunyai nilai sejarah tersendiri ditemukan sekumpulan penggemar aktiviti lasak di Bukit Berapit di sini.

Kumpulan berkenaan yang melakukan aktiviti eksplorasi di kawasan itu baru-baru ini berkata, terdapat tiga buah terowong kereta api di situ yang pernah digunakan untuk pertahanan negara.

Jurucakap kumpulan eksplorasi itu, Muhammad Firdaus Abdull Fatah, 33 berkata, difahamkan terowong dan stesen kereta api lama itu merupakan sebuah kubu ketika zaman penjajahan British, penaklukan Jepun dan era darurat.

Katanya, berdasarkan eksplorasi, didapati terowong keretapi dan bangunan stesen keretapi lama itu mempunyai nilai sejarah namun tidak diketahui umum.

“Difahamkan, terowong dan bangunan stesen kereta api lama ini di bawah Perbadanan Aset Kereta Api.

“Berdasarkan eksplorasi kami didapati kawasan ini mempunyai potensi untuk pelancongan, namun, ia perlu dipulihkan terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sama seperti Jambatan Victoria di Kuala Kangsar yang dibangunkan, terowong kereta api di Bukit Berapit juga perlu dipulihara kerana menjadi pelengkap kepada rantaian Jambatan Victoria.

Katanya, malah dipercayai terowong kereta lama itu mempunyai kisah sejarah yang tidak kurang menariknya berbanding Jambatan Victoria di Kuala Kangsar.

“Terowong keretapi lama ini juga ada sejarahnya dan merugikan jika ia terbiar.

“Mungkin pada mata kasar sesetengah pihak terowong ini hanya sebuah laluan keretapi namun tidak pernah mengetahui apa sejarah yang telah berlaku di sini, jika dijaga boleh dijadikan tarikan pelancong,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×