Ambil juga tindakan terhadap Rauf, Ali - Utusan Malaysia

Ambil juga tindakan terhadap Rauf, Ali

IDRIS HARON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad harus dikenakan tindakan kerana mencabuli pendirian UMNO yang ditetapkan dalam Perhimpunan parti tersebut iaitu ‘No Anwar, No DAP’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berkata, kenyataan DAP Me­laka yang mengesahkan pertemuan sulit dengan Rauf dan seorang lagi pemimpin UMNO negeri yang didakwa sebagai Mohamad Ali hanya memperlihat yang pemimpin tersebut tidak patuh kepada keputusan parti.

“Tindakan keras kepada kedua-dua pemimpin UMNO negeri ini perlu diambil kerana telah melanggar janji parti yang menyatakan No Anwar No DAP, mengadakan pertemuan dengan Ketua DAP Melaka dan tawaran jawatan Exco kepada mereka serta beberapa ganjaran lain.

“Tawaran ini akan diberi jika DAP Melaka bersama dengan mereka, antara tawaran lain, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) akan diserahkan kepada DAP,” kata­nya ketika dihubungi, semalam.

UMNO pada Mac lalu menetapkan untuk menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ia ditetapkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di mana Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Barisan Nasional (BN) sudah memutuskan untuk menghadapi PRU-15 secara bersendirian.

Bagaimanapun, mengenai krisis di Melaka, Rauf me­ngakui beliau mengadakan rundingan dengan DAP malam sebelum empat ADUN menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Jelas Rauf, pertemuan itu bertujuan menyelamatkan negeri berkenaan di samping menawarkan beberapa solusi namun DAP menolak tawaran tersebut.

“Siapa yang mungkiri janji sekarang? Rauf kata dia buat benda ini (perjumpaan dengan DAP) kononnya nak selamatkan UMNO. Samalah alasannya dengan saya. Tetapi tindakan kepada saya adalah tindakan terpilih.

“Mereka melakukan kesa­lahan yang sama tetapi tidak dihukum. Jadi Presiden perlu tegas dalam mendepani situa­si politik semasa dengan mengambil tindakan kepada Rauf. Jika tidak, maka tunggu sahajalah kehancuran Melaka,” ujar Idris. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×