Keinginan berkongsi ilmu perubatan dengan masyarakat secara meluas mendorong Dr. Amanda Elli aktif di platform Instagram sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Percubaan Dr. Amanda yang digelar Dr. Unicorn ternyata berhasil. Ini apabila dapat mengumpul lebih 113,000 pengikut di platform berkenaan.
Bercerita lanjut, anak jati Kuala Lumpur yang bertugas di Unit Covid sebagai Pegawai Perubatan Fasiliti Klinik Kesihatan di Kuala Lumpur berkata, tujuan asalnya hanya untuk suka-suka selain menghilangkan tekanan kerja.
Katanya, selain itu mempromosi perkhidmatan ditawarkan di klinik kesihatan yang mungkin tidak diketahui ramai.

“Sebenarnya ramai doktor di luar negara memilih Instagram sebagai medium media sosial untuk berkongsi ilmu. Malah mereka jauh lebih ke hadapan sekaligus memberi inspirasi serta keyakinan kepada saya untuk memuat naik lebih banyak video,” katanya dalam temubual dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Dr. Amanda, topik kesihatan dibincangkan secara umum dan ada kalanya berpandukan soalan pengikutnya.
Namun, ada juga fakta dikongsi berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sepanjang sembilan tahun berkhidmat dalam bidang perubatan.
“Antara topik terawal dibincangkan adalah berkaitan Covid-19. Selain itu, saya juga pernah kongsi ilmu dan salah faham dalam kalangan masyarakat mengenai perkara tertentu seperti isu vaksin Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, selain pertanyaan di ruangan komen, ada juga pengikutnya bertanya di ruangan mesej.
Ini secara tidak langsung memberi peluang mengingati semula ilmu dalam bidang perubatan.
Mengenai jolokan Unicorn, Dr. Amanda berkata, ia kerana minatnya terhadap watak fantasi itu sejak zaman belajar di Ireland.
Tarikan warna pelangi Unicorn memberi inspirasi dan semangat untuk dia belajar di universiti.
“Masa itu, nota saya pun berwarna-warni, malah saya pernah warnakan rambut saya warna pelangi. Bermula di situlah, kawan-kawan gelarkan saya Dr. Unicorn.
“Namun, zaman sekarang saya tak bolehlah warnakan rambut warna-warni,” ujarnya yang menjelaskan watak Unicorn menjadikannya seorang yang riang, gembira dan sentiasa terhibur.
Kata Dr. Amanda, kehidupan seorang doktor sebenarnya penuh tekanan. Kiri belakang depan dan belakang boleh dikatakan banyak benda yang menjadi punca stres.
Doktor perlu berdepan dengan pesakit, keluarga dan orang ramai yang mengharapkan sesuatu daripada doktor. Itulah lumrah kerjaya doktor.
“Unicorn umpama magis untuk saya. Apabila orang lain memanggil saya ‘Dr. Unicorn’ daripada jauh lagi, saya terasa terhibur dan gembira,” katanya.
Hikmah pandemik
Menggalas tanggungjawab sebagai pasukan perubatan, apa lagi bertugas di Unit Covid-19 secara tidak langsung mendedahkan beliau mengendalikan bermacam-macam situasi.
Dr. Amanda akui, memang benar virus jahat itu tidak boleh dilihat dan dipegang tetapi mereka yang pernah mengalami ‘merasai’ sakitnya.
“Pandemik ini membawa hikmah tersendiri. Selain mendidik tahap disiplin menjaga kebersihan diri, ia juga mendidik masyarakat mengamalkan konsep #kitajagakita. Bukan mudah untuk mengharungi situasi Covid-19, maka bertabah dan terus bersabar.
“Bagi keluarga yang memiliki anak 12 tahun ke bawah, elak keluar jika tiada keperluan dan kekal berada di rumah bagi mengelakkan risiko Covid-19,” katanya.
Dr. Amanda turut menggesa masyarakat menitikberatkan langkah-langkah disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Antaranya, sentiasa membasuh tangan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal terutamanya berada di kawasan yang sesak dan berisiko.
Ditanya apakah perbezaan situasi dunia perubatan sebelum dan semasa pandemik Covid-19? Adakah semakin sukar atau bagaimana?
Tanpa mengambil masa lama, Dr. Amanda terus mengiyakan. Beliau yang pernah bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur menyifatkan, petugas perubatan kini perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.
“Jika dulu pesakit yang datang boleh terus mendapatkan rawatan dan konsultasi doktor, hari ini tidak lagi. Disebabkan Covid-19 tidak boleh dilihat dan dikesan, maka mereka (pesakit) perlu menjalani beberapa prosedur wajib terutamanya yang bergejala.
“Susulan itu, pasukan perubatan khususnya di bahagian Unit Covid-19 harus sentiasa menyarung PPE (peralatan perlindungan diri) bagi mengelakkan virus merebak,” tuturnya yang sudah lali menahan panas dan berpeluh termasuk kegatalan kulit (ekzema) sepanjang memakai PPE.
Justeru, adakah perasaan paranoid bersarang dalam diri? Jujur kata Dr Amanda, dia sukar menidakkan perasaan takut dan bimbang. Apatah lagi tugasnya di Unit Covid-19 yang serba mencabar dan berisiko itu.
“Siapa yang tak takut dengan virus tersebut tambahan pula saya perlu mengendalikan unit berisiko. Perasaan semakin berselirat apabila memikirkan ibu dan ayah yang merupakan kategori warga emas. Maklumlah, kelompok berkenaan lebih berisiko tinggi.
“Tidak dinafikan, gelombang awal wabak saya sama seperti orang lain yang keluar bekerja atau membeli barang. Sebelum masuk dalam rumah, saya perlu membersihkan diri dengan sabun dan mandi. Kemudian, barulah boleh bersentuhan dengan ahli keluarga lain,” ujarnya.

Momen tidak dapat dilupakan
Antara momen paling menyentuh jiwa sejak bergelar petugas barisan hadapan ialah peristiwa seorang wanita berusia sebaya ibu beliau yang tiba-tiba rebah di tempat letak kereta.
Bantuan pertolongan cemas (CPR) dilaksanakan di situ juga kemudian dibawa ke bahagian kecemasan. Waktu itu Dr. Amanda bertugas di zon merah.
“Wanita ini ibu kepada enam anak. Ketika itu hanya dua anak berusia belasan tahun ada bersamanya. Kedua-duanya menangis dan panik. Wanita itu sudah tidak sedarkan diri. Kami bergilir-gilir buat CPR kepadanya,” katanya.
Kemudian Dr. Amanda diarahkan oleh Pegawai Perubatan yang bertugas untuk berhenti seketika bagi menjawab panggilan telefon anak-anak wanita itu yang berada di beberapa negeri.
Sambil menangis mereka merayu-rayu dan meminta saya memberi surat pelepasan untuk rentas negeri memandangkan ketika itu dalam tempoh PKP
“Saya jadi kelu tidak tahu hendak jawab apa. Hanya mampu katakan maaf. Tiada apa yang boleh kami lakukan selain buat yang terbaik demi menyelamatkan ibu mereka.
“Terlintas di fikiran kalau saya berada di tempat mereka pasti sangat sedih kerana tidak dapat bertemu dengan ibu yang dalam keadaan kritikal begitu.
“Paling meruntun jiwa apabila hanya dua orang anak yang masih kecil berada di sisi wanita itu sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” ceritanya.
Pengalaman ini mengajar beliau betapa besarnya kasih sayang keluarga serta pengorbanan ibu bapa. Ia juga mengajarnya erti rasa kemanusiaan yang sebenar.
Tidak melemahkan semangat
Bercerita tentang cita-cita bidang perubatan, Dr. Amanda mahu menjadi doktor sejak di bangku sekolah rendah lagi.
“Cita-cita ini (doktor) timbul selepas melihat kecekapan seorang doktor lengkap berjaket putih hadir ke sekolah.
“Saya anggap beliau adiwira kerana handal melakukan pelbagai tugas seperti pemeriksaan gigi dan memberikan imunisasi. Sejak itu, saya tanam azam untuk jadi doktor seperti beliau,” katanya.
Tidak ketinggalan, ibu bapa sentiasa memberi sokongan dan sejak kecil, jika kanak-kanak lain seronok bermain, dia lebih teruja menghafal sifir dan membaca buku di rumah.
“Melangkah ke sekolah menengah, komitmen saya semakin tinggi. Saya bekerja keras memastikan keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) cemerlang kerana ia penentu kelayakan menyambung pengajian dalam bidang perubatan.
“Kemudian, saya melanjutkan pengajian di National University of Ireland, Galway dengan tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi skim pelajar cemerlang selama lima tahun “ katanya.
Telefon pengganti diri
Belum pun sempat menunaikan rutin seorang isteri, suami, M. Syaiful Hisam yang merupakan jurutera penggerudian dipanggil pulang bertugas di pelantar minyak di Arab Saudi.
Walaupun dalam tempoh yang lama baru mereka suami isteri baru dapat bersua, sama seperti petugas barisan hadapan lain, Dr. Amanda perlu fokus dengan tugas dan tidak dapat bercuti panjang menemani suami.
“Mahu atau tidak, saya akur dengan susunan-Nya kerana suami bekerja untuk kebaikan kami bersama. Nasib baik ibu, ayah dan adik lelaki sentiasa berada di sisi meniupkan semangat dan mengukir senyuman.
“Keadaan menjadi lebih teruk apabila larangan merentas negara turut dikuat kuasakan di Arab Saudi dalam tempoh yang agak lama,” katanya.

Bagaimanapun, jika mereka berjauhan, Dr. Amanda dan suami akan berhubung melalui panggilan telefon setiap hari sekurang-kurangnya 30 minit.
Pasangan ini bertemu jodoh di aplikasi media sosial iaitu Tinder. Walaupun pada mulanya Dr. Amanda kurang percaya dengan cinta online namun inilah yang dikatakan takdir.
“Saya bergelar isteri pada Februari tahun lalu. Namun, detik indah sebagai pengantin baru hanya dikecapi sementara. Tiga hari selepas itu saya terpaksa ‘melepaskan’ suami yang perlu meneruskan tugasnya.
“Walaupun lama terpisah, suami tetap positif dan sentiasa memberi kata-kata semangat. Bohonglah kalau kata tak sedih. Kami sentiasa berusaha untuk berhubung walau dalam apa jua cara seperti melalui Facetime dan panggilan video,” katanya.










