ISTANBUL: Maklumat peribadi membabitkan lebih 1.5 bilion pengguna Facebook termasuk di Malaysia dilaporkan dijual di pasaran gelap atau dikenali sebagai dark web.
Situasi itu berlaku ketika pengguna Facebook, Instagram dan WhatsApp di seluruh dunia mengalami gangguan enam jam, kelmarin dan awal pagi semalam.
Pasaran gelap maklumat peribadi boleh digunakan pihak tidak bertanggungjawab dengan ‘menyamar’ watak sebagai pengguna media sosial itu untuk menjalankan pelbagai kegiatan jenayah.
Antara jenayah tersebut adalah love scam selain perangkap untuk mengaut keuntungan dengan cara memalsukan maklumat peribadi berkenaan jika pengguna asal laman sosial itu tidak menyedari maklumatnya telah disalah guna pihak lain.Ketika ini, dianggarkan 80 peratus atau 25.3 juta daripada populasi Malaysia adalah pengguna internet untuk pelbagai aplikasi media sosial.
Bagaimanapun, setakat semalam pihak berkuasa negara ini belum mendedahkan kemungkinan jenayah kesan daripada gangguan Facebook, Instagram dan WhatsApp.
Lapor Daily Sabah, beberapa tangkap layar ditemukan di Twitter menunjukkan satu hantaran yang dipercayai berkaitan dengan penjualan data peribadi 1.5 bilion pengguna Facebook di dark web.
Ia dapat dicapai menerusi alat khas dikenali sebagai Tor dan tidak boleh diindeks dengan carian laman sesawang seperti Google.
Tangkap layar yang diambil dari laman dark web popular itu menunjukkan satu hantaran mengenai pangkalan data mengandungi lebih 1.5 bilion maklumat pengguna untuk dijual.
Namun jelas hantaran itu, pangkalan data tersebut sudah dilupuskan tahun ini dan e-mel serta nombor telefon juga disertakan.
Satu lagi hantaran di laman media sosial menunjukkan tangkap layar yang tertera bahawa domain Facebook untuk dijual.
Pemeriksaan menggunakan perkhidmatan Whois di laman domaintool.com menunjukkan facebook.com diletakkan untuk dijual.
Malam kelmarin sehingga awal pagi semalam, platform Facebook, Instagram dan WhatsApp mengalami gangguan di beberapa negara, selama hampir enam jam.
Menurut syarikat itu, pihaknya menyedari sebahagian besar pengguna menghadapi masalah mengakses aplikasi Facebook.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak menyatakan punca yang menyebabkan gangguan tersebut. Dilaporkan, pengguna tidak dapat mengakses Facebook di California, New York dan Eropah.
Sementara itu, pasaran Facebook dilaporkan jatuh sebanyak 5.4 peratus disebabkan gangguan berterusan yang turut mempengaruhi Instagram dan WhatsApp.
Indeks Komposit Nasdaq mengalami kerugian terbesar dari indeks utama, dengan jatuh 2.1 peratus kepada 14,255.48.
The Dow Jones Industrial Average pula susut 0.9 peratus kepada 34,002.92 manakala S&P merosot 1.3 peratus kepada 4,300.46. – UTUSAN










