Dunia kongsi kejayaan SPRM - Utusan Malaysia

Dunia kongsi kejayaan SPRM

DISEBABKAN cabaran besar untuk mendakwa dan memulihkan aset-aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Malaysia menjadi terkenal dengan skandal kewangan terbesar di dunia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUBAHAN wang haram ialah proses menjadikan wang atau aset yang diperoleh daripada aktiviti haram kelihatan sah. Ia merupakan proses mencuci wang ‘kotor’ bagi menyembunyikan sumber asal wang tersebut.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa untuk menguatkuasakan pemulihan aset yang dicuri melalui Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak salah faham tentang kegunaan kompaun sebagai salah satu strategi bagi pemulihan aset menggunakan akta tersebut.

Dalam pemikiran biasa, seseorang yang didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram perlu dihukum penjara, denda tinggi serta pemulihan keseluruhan aset yang dicuri. Namun, realiti jauh lebih rumit.

Pemulihan wang haram menjadi lebih rumit disebabkan penjenayah mengubah hasil pendapatan haram mereka melalui syarikat yang didaftar secara sah dengan wakil serta penama sebagai topeng untuk menyembunyikan harta mereka. Sememangnya, rasuah telah berubah daripada duit kopi kepada di bawah meja, kemudian gratifikasi melangkaui meja sehingga menjadi transaksi kewangan rentas sempadan yang bertambah kompleks.

Selalunya, ia dilakukan melalui transaksi kewangan yang kelihatan sah sementara hasil pendapatan haram dibelanjakan atau digunakan untuk tujuan sah atau haram bagi meningkatkan lagi hasil pendapatan. Ia juga boleh diderma kepada pertubuhan amal atau dijadikan sebagai bayaran untuk perkhidmatan atau pembelian yang sah ataupun bagi tujuan pembiayaan politik.

Kerumitan dan kecairan pengubahan wang haram menjadikan pemulihan aset lebih mencabar. Kepentingan AMLATFPUAA ialah pemulihan aset untuk dipulangkan kepada pemilik mereka. Ia berbeza dari segi semangat Kanun Keseksaan untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman setimpal bagi mencegah penjenayah baharu.

Walaupun elemen tersebut juga penting dalam AMLATFPUAA, ia mengambil jalan lebih praktikal dengan pemahaman jika penguat kuasa boleh menyita serta mengembalikan aset dicuri, nescaya sindiket beruntung daripada hasil pendapatan haram dapat dilumpuhkan.

Andainya seseorang pesalah dituduh atas kesalahan pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan, ada kemungkinan kes mengambil beberapa tahun untuk membuktikan kesalahan tanpa keraguan.

Pesalah itu juga boleh terlepas atas faktor teknikal sewaktu proses rayuan yang panjang. Atau mungkin pesalah itu berjaya disabitkan dan dipenjarakan beberapa tahun dan apabila dibebaskan, tidak mustahil dia masih boleh mengakses duitnya yang diubah dan dilabur secara sah melalui wakil-wakilnya.

1MDB

Sebaliknya terdapat beberapa strategi yang boleh diambil untuk pemulihan aset dengan menggunakan AMLATFPUAA. Antaranya, pendakwaan jenayah, pelucutan sivil, denda kompaun, pemulihan aset kepada pemilik-pemilik sah dan pemulihan aset daripada orang-orang yang melarikan diri. Pemilihan strategi yang bakal digunakan bergantung kepada kesesuaian, keseimbangan risiko, kebolehan untuk mengumpul bukti dan saksi-saksi bergantung kepada perjanjian rentas sempadan dan lain-lain faktor yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan memulihkan aset.

Dalam kes mengenakan kompaun untuk pemulihan aset, AMLATFPUAA tidak perlu membuktikan tanpa keraguan bagi menawarkan pembayaran denda kompaun kepada tertuduh.

Kesalahan kompaun sama sekali tidak menyatakan tertuduh itu tidak bersalah. Ia merupakan tindakan punitif dan tindakan membayar kompaun merupakan satu pengakuan kesalahan.

Strategi ini menjimatkan kos dan masa mahkamah. Namun, jika tertuduh gagal membayar kompaun tersebut, dia boleh didakwa dalam perbicaraan penuh dalam mahkamah.

Di peringkat global, kadar kejayaan untuk pemulihan aset pengubahan wang haram ialah 30 peratus. Disebabkan cabaran besar untuk mendakwa dan memulihkan aset-aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Malaysia menjadi terkenal dengan skandal kewangan terbesar di dunia.

Sehubungan itu, saya bangga menyatakan SPRM berjaya mencapai sebanyak 45 peratus dalam pemulihan aset atau RM21 bilion dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Antarabangsa mengenai pemulihan aset dan pendakwaan 1MDB. Ahli-ahli pasukan ini dari Malaysia, Amerika Syarikat, Perancis, Singapura, Switzerland dan Luxembourg.

Diiktiraf sebagai negara peneraju dalam pemulihan aset antarabangsa, pada tahun ini Malaysia dijemput untuk berkongsi pengalaman dan memberi input dalam seminar-seminar dianjurkan oleh Bank Dunia, Persatuan Pakar Anti Pengubahan Wang Haram Bertauliah (ACAMS) dan Persatuan Agensi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA).

Di peringkat dalam negara, SPRM masih terus memulihkan aset berkaitan 1MDB dengan AMLATFPUAA. Antaranya 80 individu dan entiti yang dikenakan notis-notis kompaun kerana menerima dana berjumlah RM420 juta daripada 1MDB.

SPRM akan terus melihat penyelesaian kompaun-kompaun tersebut serta cabaran-cabaran terhadapnya oleh individu-individu yang dikenakan notis-notis pada 2019. Kes baru-baru ini yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Maslan merupakan satu contoh. Beliau dikenakan kompaun pada Oktober 2019, namun memilih untuk dibicarakan di mahkamah pada masa itu.

Beliau kemudian didakwa dengan dua pendakwaan di bawah Seksyen 4 (1) dan Seksyen 32 (8)(c) AMLATFPUAA pada 20 Januari 2020 dan mengaku tidak bersalah. Semasa tempoh perbicaraan dijalankan, beliau mengemukakan representasi dan bersetuju membayar kompaun. Perlu ditekankan, kompaun tersebut ialah tindakan punitif dan satu bentuk pemulihan aset.

Masyarakat patut mengelak daripada membuat spekulasi bahawa individu-individu tersebut dilepaskan dengan mudah. Ini bukan isu politik. Ini merupakan faktor teknikal undang-undang yang didasari dalam semangat akta tersebut bertujuan memulih aset-aset supaya ia boleh dipulangkan semula kepada rakyat.

PENULIS ialah Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×