Jangan pandang ringan tindak-tanduk China di Laut China Selatan - Utusan Malaysia

Jangan pandang ringan tindak-tanduk China di Laut China Selatan

KAPAL pengawal pantai Filipina mengawasi sebuah kapal China yang berlabuh di Laut China Selatan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencerobohan sempadan oleh China merupakan pencabulan kedaulatan negara yang tidak boleh dipandang ringan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan, tindakan China merupakan mesej jelas negara itu serius mahu me­nguasai Laut China Selatan.

“Kehadiran secara besar-besaran hampir 100 buah kapal China memasuki perairan Laut China Selatan yang dituntut Filipina memberi mesej jelas bahawa China serius mahu menguasai perairan Laut China Selatan tanpa menghiraukan isu pencerobohan dan penca­bulan kedaulatan negara serantau.

“Malaysia juga tidak terke­cuali daripada kesan pencerobohan, khususnya Sabah dan Sarawak. Misalnya pada 1 Jun lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) IFR Kota Kinabalu.

“Selepas empat hari insiden 16 pesawat China memasuki ruang udara Malaysia, kapal pengawal pantai China pula didakwa berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak.

“Pencerobohan seumpama ini tidak boleh dipandang ringan dan insiden ini seharusnya menjadi peringatan bagi negara kita agar sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan,” katanya semalam.

Beliau yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, tindakan China itu suatu yang membimbangkan dan kerajaan digesa segera mengeluarkan nota bantahan.

“Saya melihat tindakan kerajaan China menunjukkan kekuatan tentera atau penguasaan di kawasan perairan Laut China Selatan sebagai satu perkembangan yang amat membimbangkan.
“Malaysia perlu mengeluarkan nota bantahan diplomatik kepada negara China dan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung aktiviti ketenteraan China di perairan Laut China Selatan kebelangkangan ini.

“Malah keputusan terbaharu kerajaan China untuk menetapkan semua kapal asing yang memasuki Laut China Selatan dengan melaporkan butiran tertentu termasuk muatan kargo dengan pihak berkuasa ma­ritim China akan mengundang pelbagai reaksi negatif.

“Apa juga aktiviti ‘membuli’ daripada segi ketenteraan tidak seharusnya berlaku, walaupun isu ini agak rumit tetapi saya percaya perkara ini masih boleh diselesaikan melalui saluran diplomatik,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Salleh turut menyelar tindakan provokasi Amerika Syarikat (AS) sehingga mengancam keselamatan Malaysia dan rantau Asia.

“Saya berpendapat bahawa apa juga konflik antara kuasa besar tidak seharusnya menjadikan kawasan rantau ini sebagai proksi untuk menunjukkan kekuatan ketenteraan terutama di Laut China Selatan.

“Walaupun niat yang baik untuk memastikan laluan perdagangan di perairan Laut China Selatan selamat tetapi keha­diran kapal laut dan udara tentera AS secara besar-besaran untuk mengadakan latihan di Laut China Selatan dilihat oleh China sebagai provokasi dan ancaman keselamatan.

“Berikutan itu, China mula bertindak balas dengan mengenakan peraturan baharu kapal-kapal kargo yang melintasi Laut China Selatan. Tentu sekali kita berharap kedua-dua negara ini dapat bertenang daripada melakukan kegiatan yang boleh mengugat keselamatan dan keamanan serantau,’ ujarnya.

Salleh menggesa agar kedua-dua negara besar itu berhenti menjadikan Laut China Selatan sebagai zon perang dan mela­kukan sebarang provokasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×