Program basmi kemiskinan bawah satu kementerian - Utusan Malaysia

Program basmi kemiskinan bawah satu kementerian

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyelaraskan semula program membasmi kemiskinan yang be­lum memuaskan di bawah satu kementerian bagi mengelakkan pertindihan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana usaha membantu golo­ngan miskin banyak bertindan antara kementerian sehingga menyebabkan masyarakat yang terlibat hanya sekadar menjalani latihan tanpa pemantauan.

Menurut beliau, segala data kemiskinan yang dikumpul oleh pegawai daerah akan diberi kepada kementerian ber­kenaan supaya penyelara­san da­pat dibuat lebih terperinci.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dulu kita tidak mahu beri duit tunai, tetapi kita melatih mereka untuk berniaga. Contohnya, dalam satu kampung tidak ada orang jual roti canai. Jadi, kita latih dia meniaga roti canai, mesti maju. Kita bagi sedikit duit dan peralatan, dapur dan sebagainya, kita latih tapi tidak ada pemantauan,

“Tiba-tiba esok lusa, kementerian lain masuk ke kawasan kampung itu untuk bantu, latih lagi, esok lusa majlis agama bawah zakat, masuk lagi, latih lagi. Tetapi tiada yang pantau. Akhirnya semua gagal, tidak ada pemantauan khusus,” kata Perdana Menteri dalam pertemuan dengan beberapa pengarang kanan media arus perdana di Bangunan Parlimen Khamis lalu.

Ismail Sabri berkata, beliau sedang meneliti kementerian sesuai untuk dipertanggungjawabkan dalam usa­ha pembasmian kemiskinan.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan terus memberikan la­tihan secara khusus kepada go­longan B40 dengan penyelarasan khusus bagi mengurangkan paras kemiskinan.

“Sekarang ini untuk kemiskinan bandar, program-program seperti ini kita laksanakan. Bila pandemik (Covid-19) berlaku, B40 dah jadi miskin tegar pun ada, M40 dah turun jadi B40 pun ada.

“Sebenarnya B40 sedang me­­­­ningkat dari segi jumlahnya. Dan miskin tegar semakin ba­nyak sebab kita baru menaikkan paras kemiskinan, kena pula Covid-19, jadi makin bertambah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan dan pembangkang hasil inisiatif beliau memberi kesan positif terhadap perjalanan persidangan Dewan Rakyat setakat ini.
Menurut beliau, serangan pembangkang kali ini tidak terlalu ‘keras’ sebaliknya mem­bolehkan kerajaan dan pembangkang duduk bersama da­lam satu sesi taklimat.

Ismail Sabri berkata, buat kali pertama juga dalam sejarah Parlimen ketika sesi tak­limat baru-baru ini telah mengumpulkan kerajaan dan pembangkang untuk duduk bersekali mendengar taklimat Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Jelasnya, ia berbeza dengan cara sebelum ini di mana taklimat akan dibuat secara ber­asingan antara kerajaan dan pembangkang, namun keterbukaan kedua-dua pihak itu membolehkan dasar-dasar ke­rajaan dibincang bersama de­ngan cara lebih profesional.- MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×