MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka dikatakan bergolak ekoran dakwaan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kerajaan difahamkan mahu meninggalkan blok tersebut.
Ekoran perkembangan itu, kerajaan negeri yang dibentuk hasil gabungan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan wakil rakyat Bebas pada Mac tahun lalu kini berada dalam krisis.
Sejak semalam, spekulasi tersebut bertiup kencang dalam kalangan ahli politik di negeri ini berikutan tersebarnya berita mengenai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, didakwa akan melompat menyertai Pakatan Harapan (PH).
Begitupun, keadaan menjadi lebih mengejutkan apabila dimaklumkan, dua lagi ADUN kerajaan akan mengikut jejak langkahempat wakil rakyat tersebut.
Utusan Malaysia turut difahamkan, empat ADUN didakwa sudah menandatangani akuan bersumpah (SD), manakala dua lagi tidak dapat dipastikan.
Majoriti ADUN yang berpaling tadah ini didakwa datang daripada UMNO.
Difahamkan, mereka tidak berpuas hati dengan pucuk kepimpinan negeri, selain mendakwa dipinggirkan oleh parti.
Jika benar, bermakna kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bakal kehilangan tampuk pemerintahan setelah kira-kira setahun memerintah.
Pada masa ini, kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.
Jika enam ADUN tersebut melompat, ia bermakna PH akan mempunyai majoriti 17 kerusi DUN, yakni layak untuk memerintah.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh ketika ditemui di Villa D’Acqua, Masjid Tanah dekat sini, enggan memberi sebarang komen berhubung perkara tersebut.
Begitu juga Sulaiman, enggan ditemu bual atau mengulas mengenai pergolakan yang berlaku.
Turut difahamkan, terdapat usaha sejak pagi semalam untuk menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam, oleh wakil ADUN yang ingin melompat.
Namun, usaha itu tidak berjaya disebabkan Pejabat Yang Dipertua Negeri memaklumkan, Mohd. Ali sedang menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari bermula semalam, kerana menjadi kontak rapat Covid-19.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, ura-ura berhubung pergolakan dalam kerajaan negeri memang wujud dan ada disampaikan oleh seorang wakil rakyat kepadanya.
“Ada seorang YB (yang berhormat) beritahu akan ada berita petang ini (semalam). YB mana saya tidak boleh beritahu,” katanya ketika dihubungi.
Setakat berita ini ditulis, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang dihubungi belum memberikan sebarang respons berkenaan perkara ini.- UTUSAN










