ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat apabila seramai 273 orang daripada 101 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga semalam.
Tiga daerah terbabit ialah Baling, Sik dan Padang Terap.
Ketua Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah memberitahu, sebanyak 15 PPS dibuka di tiga daerah itu sejak Selasa lalu.
Katanya, di Padang Terap seramai 10 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tampoi.
“PPS SK Bukit Tampoi dibuka pada pukul 8 malam kelmarin selepas rumah mangsa dilanda banjir akibat limpahan Sungai Padang Terap berikutan hujan lebat berpanjangan,” katanya di sini semalam.
Menurut Saifuddin, daerah paling teruk terjejas ialah Baling dengan jumlah mangsa ditempatkan di PPS seramai 235 orang daripada 89 keluarga.
“Tujuh PPS dibuka pada hari pertama kejadian banjir Selasa lalu diikuti tiga PPS pada hari kedua dan seterusnya dua lagi PPS dibuka pada tengah malam dan awal pagi semalam.
“Tiga PPS yang dibuka semalam ialah PPS Maktab Mahmud, PPK SK Malau dan PPK Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Panjang.
“Sementara dua PPS iaitu Surau Barakah Tembak B dan Kampung Padang, Kupang masing-masing dibuka pada 12.50 tengah malam dan 3 pagi kelmarin,” katanya.
Beliau berkata, penambahan PPS turut berlaku di daerah Sik melibatkan SK Sik yang dibuka pada pukul 12 tengah malam kelmarin.
“Di Sik setakat ini hanya dua PPS dibuka iaitu di SK Gulau dan SK Sik yang kini menempatkan seramai 19 mangsa daripada empat keluarga,” jelasnya.
Tambahnya, jumlah mangsa meningkat apabila berlaku hujan lebat berpanjangan sejak petang semalam hingga tengah malam kelmarin. – UTUSAN










