Drama Melayu kena tiru Korea - Utusan Malaysia

Drama Melayu kena tiru Korea

KERAJAAN Korea Selatan menampilkan imej dan jenama negara itu menerusi program televisyen dan drama yang ditayangkan di luar negara termasuk Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang menunjukkan minat dengan program dari Korea yang ditayangkan di kaca televisyen tempatan. Program-program yang ditayangkan sering mendapat tempat di hati para peminat Korea, tidak kira sama ada berbentuk drama, tayangan filem, muzik, fesyen, tarian mahu pun berbentuk realiti kehidupan artis ataupun masyarakatnya.

Program dari Korea seperti mempunyai sejenis magnet yang berjaya memukau serta menambat hati penonton bukan sahaja di Malaysia malah negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat, Amerika Latin, Timur Tengah dan Eropah. Malah dikatakan program-program Korea telah mengatasi program-program Barat yang selama ini menguasai industri hiburan global.

Apakah sebenarnya yang menarik tentang program Korea? Apakah kelebihan atau keunikan mereka dalam menerbitkan program televisyen sehinggakan apa sahaja yang disajikan pasti mendapat tempat di hati penonton?

Jika ditinjau daripada perkataan Korean wave atau gelombang Korea yang memaparkan budaya Korea telah mula mencanak sejak bermulanya drama televisyen yang ditayangkan pada 1990-an. Popularitinya mencapai hingga ke China, Taiwan Vietnam, Hong Kong dan negara-negara Asia lain.

Drama berjudul What is Love All About pertama mendapat big hit apabila ia ditayangkan di stesen CCTV pada 1997. Di Jepun pula, drama Korea yang menyentuh hati, Winter Sonata meraih tontonan di luar jangkaan sehingga China, Taiwan dan Hong Kong juga menayangkan drama yang sama di kaca televisyen mereka.

Ada yang mengatakan kehadiran drama Korea adalah sangat tepat pada masanya kerana ketika itu dunia sedang mengalami krisis ekonomi. Produksi Korea mengambil kesempatan dengan menawarkan harga lebih rendah berbanding drama dari China, Jepun dan Taiwan iaitu kurang sehingga suku daripada harga yang ditawarkan produksi dari negara-negara lain.

Jika ini berlaku maka produksi Korea adalah dalam kategori bijak menggunakan peluang dan kesempatan. Namun, dari persepsi lain pula menyebut Korea peka untuk memenuhi kehendak penonton yang selama ini dirasakan berkurangan dalam plot sesebuah drama.

Apa yang dimaksudkan di sini adalah erti sebenar budaya kekeluargaan yang berlaku dalam masyarakat Asia. Selama ini kita disajikan dengan drama-drama Barat yang mengetengahkan unsur-unsur kehidupan moden dan bersifat individu serta sosial.

Sebaliknya, kehadiran drama-drama Korea lebih mengetengahkan peranan kekeluargaan, erti kasih sayang, pergolakan atau krisis yang memang terdapat dalam kehidupan sesebuah keluarga. Drama-drama Korea diolah mengikut cita rasa dan realiti kehidupan sebenar yang dikatakan sebagai memenuhi ruang kosong yang tidak mampu dihidangkan oleh drama Barat.

Di sebalik kejayaan besar program Korea yang berkembang secara global, terdapat peranan kuat dimainkan oleh kerajaan Korea dalam memberikan sokongan kepada kemajuan tersebut. Fokus kerajaan Korea adalah menampilkan imej dan jenama negara.

LUCU

Secara spesifiknya, kementerian perdagangan dan kebudayaan luar serta masyarakat dan jenama antarabangsa Korea bijak menggunakan peluang terhadap reputasi gelombang Korea untuk mempromosikan negara mereka di mata antarabangsa. Pada hari ini, dapat dilihat program Korea telah dipelbagaikan dalam bentuk lebih mudah tetapi menarik dan amat menghiburkan penonton.

Program-program televisyen seperti Two days one night, Sixth sense, Running man, Three meals a day, Return of Superman dan pelbagai lagi adalah bentuk-bentuk program realiti tetapi amat memikat hati penonton dengan penyuntingan baik, penggambaran cantik serta pemilihan skrip yang lucu.

Di sebalik program realiti ini, amat ketara Korea sedang secara agresif mempromosikan negara dan budaya mereka. Ini termasuklah bahasa, makanan, pakaian, tempat pelancongan dan kepakaran teknologi negara mereka. Mereka bekerjasama dalam sebuah terbitan program televisyen untuk memperkenalkan ekonomi Korea.

Di sinilah kita dapat lihat menariknya perancangan Korea. Dari sebuah negara yang mundur, tiba-tiba melonjak naik dengan jayanya setara negara-negara maju lain.

Kemajuan yang dikecapi sekarang adalah usahasama antara pelbagai sektor.

Sebagai sebuah negara maju, sudah sepatutnya memikirkan kelebihan media dalam menjana ekonomi negara. Media bukan sekadar untuk hiburan atau pemberitahuan sahaja tetapi lebih jauh jangkauannya apabila bijak mengatur strategi demi kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.

Di Malaysia, perkara seumpama ini boleh berlaku malahan mungkin lebih lagi sekiranya benar-benar ingin berjaya seperti Korea kerana kita juga memiliki budaya dan bangsa yang unik dan penuh adat resam masing-masing yang boleh dibanggakan. Malaysia terutama para penerbit dengan sokongan kerajaan sudah tentu boleh berganding bahu menjayakan misi mengantarabangsakan filem atau penerbitan bertaraf global.

Justeru, perubahan dan daya pemikiran kritis perlu ada dalam mempromosikan produk Malaysia. Malaysia wajar mengikuti jejak langkah Korea. Malaysia sudah cukup dewasa untuk merancang dan mengatur formula tersendiri berlandaskan kehebatan pendekatan media Korea.

Kejayaan akan lebih manis untuk dikecapi bersama sekiranya kita saling berganding bahu memperkasakan usaha tanpa mengikut rentak sendiri. Peluang sebenarnya ada untuk sesiapa sahaja yang ingin berusaha. Kita buat, kita dapat. Kita dapat, rakyat mengecapi manfaat, manakala kerajaan turut mendapat nikmat.

DR. Julina Tajul Ariffin ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem Teater & Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×