HARI ini, mana-mana pemimpin, baik menteri, timbalan menteri, waima Perdana Menteri pun senantiasa menjadi perhatian rakyat.
Pendek kata, yang dipanggil bos. Tidak terkecuali bos di setiap agensi kerajaan, jabatan dan pejabat. Kalau dalam politik, mata dan telinga tertumpu pada setiap bahagian dan cabang.
Pemimpin terbaik ialah yang sentiasa bersederhana. Hidup dalam bidang kelayakan mereka sendiri. Malangnya dalam banyak keadaan, mereka yang agresif di laman sosial telah menyebabkan ada kalanya para pemimpin terpaksa hidup berpura-pura.
Ini disebabkan penghakiman mereka di laman itu tidak semestinya benar. Sebilangan mata warganet ini suka melihat pemimpin naik kereta buruk – itu dianggap merendah diri. Sedangkan ia sebenarnya bukan realiti yang sepatutnya ada pada seseorang pemimpin.
Seorang pemimpin harus mempunyai kereta yang baik. Harus sampai cepat pada sesuatu tempat, perlu diberi kemudahan untuk melakukan sesuatu kerana dia perlu hadir pada banyak tempat dalam masa yang terhad. Dan perlu berjumpa dengan banyak orang.
Ada ketika tidak adil pemimpin dilayan sebegitu rupa. Cuma dalam situasi lebih ‘menang-menang’, jikalau pemimpin itu berlebih-lebihan dan tidak bersederhana pun, rakyat tidak boleh menerima juga.
Ada insiden di mana pemimpin berpura-pura di depan rakyat tapi di belakang rakyat buat cerita lain. Contohnya, ada pemimpin yang duduk kelas ekonomi dalam negara tetapi apabila keluar negara, terus naik kelas pertama penerbangan. Adakah dia nak mencipta imej supaya dilihat sebagai pemimpin rakyat? Sedangkan, jelas suatu keadaan berpura-pura.
Pemimpin tidak harus berpura-pura selagi dia dalam lingkungan kelayakan yang dibenarkan. Kalau mereka layak pandu Mercedes, itu kelayakan dia. Tiada siapa patut timbulkan rungutan dan dia sepatutnya begitu. Bukan sahaja pemimpin, rakyat yang layak pandu Mercedes pun patut guna. Kenapa kita harus menyamaratakan semua? Itu bukan pandangan Islam. Itu pandangan golongan kiri, sosialis dan sebagainya. Semua mesti sama.
KEDUDUKAN
Bagi pemimpin dan ahli dalam mana-mana parti politik, mereka harus ambil iktibar keputusan pilihan raya umum lepas. Ada parti yang waktu itu telah rosak dari kepala hingga ke ekor.
Untuk ahli parti tertentu yang pemimpin mereka kembali menjadi ketua kerajaan, insafilah bagaimana buat kali pertama UMNO menjadi pembangkang pada 9 Mei 2018.
Apabila sudah lama berkuasa lebih 61 tahun, ia menjadi liabiliti besar terpaksa ditanggung. Enam dekad berlalu tiba-tiba UMNO menjadi porak peranda. Era pemimpin parti itu dalam kalangan guru sudah lenyap. Dari kalangan profesional dan bijak pandai pun senyap.
Menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan menentukan jatuh bangun sesebuah parti politik, baik yang lama dan ‘baru setahun jagung’, harus dihindari amalan yang merosakkan parti. Tiada pelincir tidak bergerak. Projek kerajaan jadi mangsa. Duit rakyat dilahap oleh pemimpin tertentu.
Bila ada keistimewaan menjadi wakil rakyat di kerusi Parlimen, Dewan Undangan Negeri, ketua bahagian atau ketua cabang, maka rasa mahu duduk lama. Tidak mahu lepas jawatan kepada muka baharu. Jadi, caranya sekat orang lebih pandai dari dia. Maka dipilihlah hanya yang ‘suam-suam kuku’ menjadi ahli jawatankuasa. Semuanya kerana mahu menjamin kedudukannya kekal.
Sebab itu, rakyat marah ada ketua bahagian atau ketua cabang bukan lagi menjadi jentera rakyat untuk turun ke padang. Sebaliknya, mereka mengejar projek untuk menyuap habuan ke setiap sayap cawangan dan ranting.
Sayap-sayap parti bukan lagi sebagai penggerak rumah ke rumah. Amalan khidmat bakti sudah dikesampingkan. Yang sayap mudanya bukan lagi sebagai pendesak yang lantang di jalan raya. Bukan lagi sebagai pemikat anak muda yang akan menyertai kumpulan besar Undi18. Semua gila duit, gila projek.
TELINGA LINTAH
Rakyat memerhati dengan mata tajam dan telinga lintah. Secara tersurat, tulang pentadbiran parti tertentu disusun secara materialistik. Sistem di peringkat tertentu akhirnya merosakkan parti. Struktur organisasi juga menggalakkan rasuah politik. Apatah lagi apabila sistem undian parti itu masih mengamalkan kaedah purba – mengizinkan sistem chai yang kian lama berleluasa. Apa itu chai? Ia lebih kepada sistem undian yang cincai.
Perwakilan tidak tahu siapa yang mereka undi. Mereka sudah ‘disiap-siagakan’ dengan senarai nombor yang harus mereka pilih. Siapa yang menentukan set chai ini?
Bagaimana nama ingin dimasukkan dalam set chai ini? Ringkasnya, wang telah menewaskan ramai cerdik pandai ingin membantu parti-parti Melayu.
Pemimpin perlu bersederhana dalam apa jua peri laku dan tindak tanduknya. Tempoh hari ada sebuah parti meletakkan lebih kurang 42 peratus calon PRU-14 nya dari kalangan adalah ketua bahagian. Calon muda dinafikan. Kenapa? Adakah kerana ketua di peringkat atas mahu mengukuhkan kedudukannya dalam parti selain kemenangan dalam pilihan raya. Malangnya, semua mendapat bala.
Waktu itu ada ketua bahagian yang mengugut. Ada ketua bahagian selama lima penggal berkuasa. Ada ketua bahagian sabotaj calon payung terjun. Semua ini gara-gara tulang organisasi dalam parti itu sendiri, sekali gus menjadikan parti rosak.
Cuba belajar daripada parti-parti lain bagaimana mereka bertahan sebagai pembangkang. Hitungkan, berapa sangatlah ahli mereka? Berapa ramai pula undi mereka? Ahli mereka tidak sampai sejuta, tapi mereka dapat undi majoriti rakyat Malaysia. Berapa aktif cabang dan ranting PKR? Mereka ada pejabat negeri sahaja.
Sedangkan di setiap daerah, sesuatu bahagian parti berkenaan memiliki pejabat. Tetapi, adakah ia bermanfaat untuk parti? Akhirnya kalah juga. Adakah sistem bahagian ini perlu dirombak atau lebih radikal dihapuskan?
Cari arus baharu. Pakat dengan kumpulan baharu. Hatta dengan saluran baharu yang lebih segar. Pokok pangkalnya, mana-mana pemimpin baik dalam kerajaan, politik serta agensi dan jabatan kerajaan perlu bersederhana dalam tingkah laku, tetapi tegas dan tajam menentukan hala tuju pentadbiran.
Jika semua ini tidak dilakukan, alamatnya mereka ‘sedang menggali lubang kuburnya’ sendiri.










