PETALING JAYA: Malaysia menuju krisis sosial menjelang 2030 sekiranya isu lebih 40 peratus pencarum memiliki baki kurang RM10,000 dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak diselesaikan.
Ini kerana jumlah tersebut tidak cukup untuk perbelanjaan harian golongan pesara yang rata-rata berisiko berdepan masalah kesihatan selain kos sara hidup semakin meningkat.
Berdasarkan Forum Ekonomi Dunia, setiap individu dicadangkan menyimpan 10 peratus hingga 15 peratus daripada jumlah pendapatan tahunan untuk persediaan hari persaraan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, melihat kepada data KWSP, perkara itu sangat membimbangkan jika tidak ditangani kerana kemungkinan warga emas diklasifikasikan sebagai kumpulan membebankan pada masa akan datang.
Kata beliau, kekurangan jumlah simpanan bukan sahaja membebankan negara yang memerlukan kaedah tertentu menguruskan kumpulan tersebut agar tidak terbiar tetapi secara mikro memberi kesan buruk terutama kepada institusi kekeluargaan dan masyarakat.
“Tanpa tabungan hari tua yang cukup, golongan warga emas menjadi beban kepada anak-anak yang mungkin tidak mampu menyara orang tua mereka di samping keluarga mereka sendiri. Ini antara yang patut ditakuti.
“Kalau ikutkan perbelanjaan yang biasa dan jangka hayat penduduk Malaysia ketika usia persaraan, kita perlukan antara RM200,000 hingga RM250,000 sebagai simpanan.
“Jadi kerajaan perlu bertindak sekarang dan harus memikirkan mekanisme sesuai untuk memastikan bahawa sesungguhnya kita bersedia menghadapi situasi ini,” katanya di sini semalam.
KWSP sebelum ini bimbang selepas 46 peratus ahlinya berumur bawah 55 tahun dilaporkan mempunyai simpanan kurang RM10,000.
Mengikut data dana pencen berkenaan, ketidakcukupan dana pendapatan persaraan ahlinya mewakili 5.8 juta ahli setakat Ogos lalu.
Bagaimanapun, kata Baharom, mewajibkan skim pelaburan yang baharu dilihat tidak tidak ideal kerana KWSP adalah tabungan statutori.

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, rakyat tidak boleh mengharapkan KWSP melakukan pelaburan yang dapat menghasilkan pulangan tinggi dengan tujuan meningkatkan tabungan mereka.
“Jika inilah caranya, bermakna kita mengharapkan KWSP mengambil risiko tinggi dalam aktiviti pelaburan mereka. Ini boleh membahayakan kerana iklim pelaburan sentiasa berubah.
“Sepatutnya galakkan diberikan kepada rakyat bagi meningkatkan taraf ilmu dan kemahiran agar mendapat pekerjaan berpendapatan tinggi. Tahap dan kualiti pendidikan juga perlu ditingkatkan supaya rakyat mendapat manfaat jangka panjang,” katanya.
Tambah Mohd. Afzanizam, rata -rata rakyat di negara ini memerlukan jumlah simpanan sebanyak RM240,000 apabila mencecah usia 55 tahun.
“Bagaimanapun, ia bergantung kepada jumlah yang diperlukan ketika tempoh persaraan. Bergantung kepada komitmen. Itu belum lagi jika seseorang itu menghadapi masalah kesihatan atau sebagainya,” ujarnya.
Kerajaan baru-baru ini memaklumkan, peratus warga emas melebihi umur 60 tahun dijangka meningkat secara drastik iaitu kepada 5.3 juta orang dalam masa 10 tahun akan datang.
Pada 2020, terdapat 3.7 juta warga emas di negara ini dan dijangka meningkat sebanyak 15.3 peratus iaitu kepada 5.3 juta pada 2030. – UTUSAN ONLINE










