Bukan masanya cerita projek besar - Utusan Malaysia

Bukan masanya cerita projek besar

SUDAH banyak lebuh raya utama dibina atau sedang dalam pembinaan.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKTI Malaysia sebuah negara yang lengkap berstruktur dan bersistematik. Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan di Parlimen hari ini merupakan kesinambungan evolusi pembangunan negara melalui perspektif Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT). Mencecah enam dekad, Malaysia terus maju makmur bersama kerangka pembangunan yang diamalkan. 

Keberkesanannya perlu dipelihara dan dipertahan. Perancangan pembangunan di negara ini mencakupi tiga peringkat iaitu perancangan jangka panjang, sederhana dan pendek. RMLT merupakan perancangan jangka sederhana, diperkenalkan setelah penubuhan Malaysia pada 1963 bagi menyokong pelaksanaan perancangan jangka panjang negara. 

Strategi, program dan projek jangka pendek yang diluluskan dalam belanjawan tahunan pula akan menyokong pencapaian RMLT.

RMK-12 (dan RMK-13) hadir dalam lingkungan Wawasan Kemakmuran Bersama (2021-2030).  Segalanya menjurus kepada membina sebuah negara bangsa yang maju, kekal makmur dan damai serta harmoni dan stabil. 

Menoleh sejenak ke belakang, Malaysia telah melalui evolusi Pelan Pembangunan Jangka Panjang yang kemas tersusun. Ini meliputi Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000), Dasar Wawasan Negara (2001-2010) dan Dasar Transformasi Negara (2011-2020).

Kenyataannya, Malaysia telah melalui tadbir urus yang teratur. Justeru, jangan ada pihak yang cuba merombak atau merobah struktur yang sudah menghasil kejayaan. Suasana politik atau pucuk kepimpinan negara mungkin boleh berubah, tetapi amat tidak wajar merubah sesuatu yang terbukti memanfaatkan rakyat dan negara.

Sudah tentu RMK-12 hadir dengan pengisian tersendiri. Dan semestinya diolah dan disesuaikan dengan keperluan dan tuntutan semasa. Rancangan lima tahun kerajaan kali ini berkemungkinan besar tidak datang dengan cerita-cerita tentang projek-projek mega seperti lebuh raya baharu, lapangan terbang baharu atau kompleks-kompleks pembangunan atau penempatan baharu seperti Putrajaya. 

Tumpuan RMK-12 tentunya akan lebih menjurus kepada dasar pemulihan.  Seperti negera-negara lain di dunia, gerakan memulihkan suasana kehidupan rakyat dan ekonomi negara semestinya menjadi agenda utama setelah dilanda pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu. 

Keselamatan kesihatan rakyat perlu dijaga. Dengan keselamatan kesihatan yang terjamin boleh menggerakkan segala aktiviti penghidupan segar dan maju tanpa terencat atau terbantut di mana-mana. 

MEMULIHKAN kehidupan rakyat dan ekonomi negara selepas dilanda pandemik Covid-19 semestinya menjadi agenda utama kerajaan. – PEJABAT PERDANA MENTERI

  

PAN-BORNEO

Lagipun projek-projek infrastruktur yang bertaraf mega sudah banyak terdapat di negara ini. Sudah banyak lebuh raya utama dibina atau sedang dalam pembinaan. Lihat sahaja misalnya pembinaan Lebuh Raya Pan-Borneo di Sarawak dan Sabah. Di Kelantan akan diteruskan pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai. 

Sudah bermula projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra  Pengkalan Chepa yang menelan belanja hampir RM500 juta. Pembinaan Jambatan Palikbang-Tumpat juga sudah bermula.  

Apa pun, seperti yang diutamakan dalam mana-mana projek pembangunan kerajaan, pendekatan RMK-12 tentu tidak akan lari dari acuan asal yang menjadi amalan sejak sekian lama. Empat paksi perancangan pembangunan negara merupakan elemen penting di sebalik kejayaan melaksanakan urus tadbir dengan berkesan. 

Ini termasuk pendekatan muafakat, yakni berbincang dan mencari kata sepakat sebelum membuat apa-apa keputusan. Pendekatan konsensus memberi peluang kepada semua pihak bersuara dan memberi pandangan.   

Satu lagi pendekatan berkesan yang sentiasa diguna dalam membuat sesuatu perancangan negara ialah melalui sikap bersederhana. Ertinya, tidak ada pihak yang cuba menuntut berlebihan atau bersikap ekstrem dalam memperjuangkan sesuatu hak atau kepentingan untuk mana-mana kaum atau agama. 

Segalanya diterima dan dihormati sesuai dengan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa yang juga menjadi amalan dalam mengatur sesuatu perancangan pembangunan negara ialah melalui pendekatan inklusif.  

Dalam konteks ini, semua pihak meliputi segenap segmen masyarakat akan memperoleh bahagian masing-masing tanpa terkecuali atau terpinggir. Seterusnya, pendekatan adil saksama turut menjadi paksi dalam merencanakan sesuatu perancangan pembangunan negara.  

Semua pendekatan ini ternyata menjamin kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua. Mungkin melalui empat paksi utama dalam mengatur pelan pembangunan negara ini, RMK-12 lebih mengambil kira keperluan di Sabah dan Sarawak sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963.  

Apa yang penting, rakyat perlu bersyukur dan sedia memelihara serta mempertahankan kerangka asas sedia ada. Menghargai apa yang sudah ada bukan mengidam sesuatu yang belum berupaya. Damaikan kehidupan bagaikan dalam sebuah keluarga. Dan jangan padamkan pelita jika mahu hidup dalam suasana bercahaya!

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×