MEDIA baru-baru ini melaporkan wanita di Kedah mendahului dalam kes melibatkan Love Scam. Laporan yang menyiarkan statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis (IPK) Kedah itu menunjukkan selama tiga tahun berturut-turut, kaum Hawa di negeri itu mendahului dengan 89 kes pada 2018 berbanding 16 kes melibatkan lelaki.
Pada 2019 pula, 66 kes Love Scam melibatkan wanita manakala hanya tujuh kes daripada lelaki dan 2020, 56 kes (wanita) dan 11 kes (lelaki). Kerugian yang dicatatkan mencecah jutaan ringgit setiap tahun.
Persoalannya, di sebalik pelbagai kempen dan hebahan daripada pihak berwajib dalam usaha menyedarkan masyarakat tentang jenayah tersebut, kenapa masih ada yang menjadi mangsa terutama wanita?
Semua barangkali mengetahui ciri-ciri penjenayah Love Scam ini cukup sempurna atau lebih tepat dipotretkan penuh kepura-puraan dari segi fizikal mahupun mental dan jiwa. Mereka menggunakan akaun palsu memaparkan profil lelaki yang kacak segak, berkedudukan tinggi, budiman, kononnya menghormati dan menyanjungi wanita untuk mengumpan mereka.
Tolonglah, kaum Hawa sekalian, mana mungkin wujud lelaki yang sempurna ketika ini sedangkan aktor Hollywood yang tampan dan terkenal seperti Brad Pitt pun ada masalahnya.
MESEJ
Sasaran mereka, wanita bujang atau isteri ada masalah rumahtangga yang mungkin ditemukan di laman media sosial dan mungkin kelihatan seperti menyendiri, patah hati berdasarkan hantaran-hantaran mereka.
Salah satu cara menghalang diri sendiri daripada terjerat dalam kancah jenayah yang merugikan diri masing-masing ini, apa yang terbaik jadilah seorang yang celik teknologi maklumat (IT) terutama melibatkan media sosial.
Kenal pasti akaun-akaun palsu yang anda terima mesej secara peribadi atau langsung (pm atau dm) ini dahulu sebelum membalas mesej mereka. Tapislah jika profil mereka kelihatan mencurigakan.
Sumber Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyenaraikan beberapa cara mengenal pasti akaun palsu. Antaranya memeriksa gambar profil mereka, senarai rakan, bahagian suka dan komen, aktiviti dan maklumat akaun.
Pokoknya, paling penting jangan mudah terperdaya. Selain itu, jika was-was dapatkan nasihat daripada keluarga atau rakan atau sesiapa sahaja untuk mendapatkan kepastian kerana mereka mungkin lebih pakar dalam hal ini.










