TERPAMPANG di dada akhbar, aset bernilai RM90 bilion dibekukan. Aset berkenaan tidak dituntut dan tidak dicairkan, jauh sekali untuk dilaburkan.
Dilaporkan pada 2004, nilai aset yang dibekukan tanpa dituntut adalah RM15 bilion. Kemudian pada 2014 meningkat menjadi RM66.6 bilion. Pada 2020, nilai aset yang dibekukan mencecah RM90 bilion.
Sedihnya, ada aset yang bernilai tinggi tetapi tidak diurus dengan baik.
Aset yang dibekukan ini barangkali dalam bentuk simpanan bank yang tidak dituntut dan dilupai pemiliknya. Mungkin juga baki yang ada sangat kecil dan tidak berbaloi untuk dituntut.
Apabila berjuta orang bersikap demikian, maka berjuta pulalah aset yang dibekukan. Maknanya, bukan tidak memiliki aset bernilai tetapi tahap pengurusannya yang lemah longlai.
Sebanyak 90 peratus adalah aset orang Melayu. Mengikut sumber As-Salihin Trustee Berhad lagi, punca sebenar aset berkenaan dibekukan termasuklah pemilik meninggal dunia tanpa sebarang wasiat atau pelan pewarisan. Apabila tiada perancangan untuk berjaya, sebenarnya kita sedang merancang untuk gagal.
Kita telah gagal apabila nilai harta berbilion ringgit tidak diurus dengan baik. Begitu juga dengan perbalahan antara adik-beradik yang akhirnya tiada keputusan dibuat berkenaan aset peninggalan si mati.
Tidak kurang juga pewaris yang tidak sanggup meluangkan masa untuk mengurus dan juga apabila mereka mengalami masalah kewangan untuk menguruskannya, akhirnya aset berkenaan termasuk wang tunai, tanah, bangunan dan sebagainya terbiar dan masih berdaftar dengan nama si mati tanpa dipindah milik kepada pewaris-pewarisnya.
Begitu juga dengan sikap yang tidak prihatin dan kurang mengambil peduli mengenai apa yang berlaku terhadap harta si mati.
Takut hendak bercakap mengenai harta si mati apabila berlaku kematian kerana perlu mengambil masa kerana ‘tanah kubur masih merah.’ Nisan pun belum dipasang lagi.
Maka kurang wajar untuk membahagi-bahagikan harta tinggalan si mati dengan kadar segera.
Sikap dikatakan berpunca daripada ilmu pengetahuan yang cetek mengenai hal ehwal pengurusan kewangan. Rata-rata orang Melayu kurang mendalami ilmu kewangan dan pengurusan harta.
Untuk menguruskan kewangan melalui pakar runding pula, wang yang banyak diperlukan dan keadaan ini menyukarkan adik-beradik yang tinggal berjauhan, kesibukan dan tiada keutamaan diberikan terhadap urusan berkaitan. Begitu juga dengan ilmu berkaitan pengurusan harta secara Islam.
Rata-rata orang Melayu tahu faraid sebagai ‘agihan semata-mata’ dan bukannya hukum yang telah ditentukan dengan jelas di dalam al-Quran yang wajib dilaksanakan.
Mereka tidak melihat peratusan yang jelas dinyatakan Allah SWT sebagai ‘keadilan sejati.’ Malah ada yang menganggapnya kurang adil.
Sebenarnya, faraid sudah menentukan peratusan agihan dua bahagian kepada pewaris lelaki dan satu bahagian kepada pewaris perempuan. Keadaan ini adalah kerana pihak lelaki mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk memenuhi tuntutan maqasid pemilikan harta, keluarga dan juga kesinambungan pewarisan aset si mati.
Justeru, pewaris lelaki sepatutnya mengambil tanggungjawab lebih besar dengan memastikan pengurusan kematian dan yang berkaitan dengan harta tinggalan atau pusaka si mati dapat dijalankan sebaik mungkin.
Apabila si mati meninggalkan tanah kebun seluas lapan hektar yang mengandungi lima surat hak milik tanah dengan lot berlainan sedangkan adik beradik yang masih hidup seramai tujuh orang, akan wujud masalah untuk membahagikan harta pusaka berkenaan.
SYER
Ahli-ahli pewaris yang ada tidak mungkin memperoleh satu keping tanah dengan keluasan sehektar setiap orang. Nilai tanah juga berbeza-beza mengikut lokasi serta jenis tanaman dan sebagainya.
Pada asasnya, harta tanah adalah heterogeneous iaitu tidak sama sekalipun serupa antara satu lot dengan lot lain. Seterusnya, pihak yang bertanggungjawab dalam pembahagian harta tanah pusaka iaitu Bahagian Harta Pusaka Kecil di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian atau Pejabat Tanah akan membahagikan tanah pusaka berkenaan kepada pewaris mengikut nisbah syer yang ditentukan.
Akibatnya, kita dapati pewaris mungkin menerima 234/4500 syer daripada bahagian tanah pusaka berkenaan apabila bilangan pewaris ramai. Pemilikan bertindih ini menjadi lebih rumit lagi apabila syer setiap pewaris tidak dipecah bahagi di atas tanah secara fizikal.
Hakikatnya, Islam itu indah dan mengindahkan. Islam adalah satu cara hidup yang merangkumi semua perkara dalam kehidupan manusia. Sebenarnya, hukum faraid dengan agihan dan peratus yang tepat seperti dinyatakan di dalam al-Quran mempunyai hikmah amat besar demi kemaslahatan ummah.
Wasiat digalakkan dibuat sebelum meninggal dunia untuk menentukan pentadbir dan pemegang amanah yang patut diberi tanggungjawab menguruskan harta pusaka si mati. Hukum dan amalan faraid pula merupakan inisiatif dan dorongan supaya pewaris bersepakat dan bersetuju untuk menjalankan kerjasama dengan semangat muhibah dan kekeluargaan demi melindungi, memaju dan meneruskan kesinambungan keluarga berkenaan.
Caranya adalah penubuhan syarikat atau koperasi keluarga. Apabila sebuah koperasi keluarga dibentuk mengikut peraturan Akta Koperasi 1993 (pindaan 2007) (Akta 502), pengurusan hartanah sepatutnya menjadi bertambah baik. Justeru, hasil yang diperoleh daripada hartanah pusaka berkenaan juga menjadi lebih lumayan.
Maknanya, semua tanah pusaka akan menjadi pemilikan bersama atas nama koperasi. Justeru, melalui pengurusan koperasi yang cemerlang, hasil daripada tanah berkenaan seperti sewa bangunan atau jualan buah kelapa sawit akan diagihkan mengikut syer masing-masing.
Oleh yang demikian, sudah sampai masanya urusan pembahagian harta pusaka dijadikan lebih baik. Justeru, pendekatan koperasi amat baik untuk membentuk permuafakatan ahli keluarga dalam kalangan orang Melayu.
Dengan cara ini juga, pertelagahan dalam kalangan adik-beradik dalam keluarga dapat dihindari. Pada masa sama, bilangan harta beku dapat dikurangkan. Seterusnya, ekonomi keluarga akan tumbuh dan terus maju dan segar membugar.
PROFESOR Dr. Ismail Omar ialah calon Pengarah Institut Harta Tanah Malaysia (MyREI) yang baharu ditubuhkan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Beliau juga Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama).










