Sukar dapat zuriat, IVF penyelamat - Utusan Malaysia

Sukar dapat zuriat, IVF penyelamat

Dr. Liyana Dhamirah Aminuddin diuji apabila terpaksa menunggu 10 tahun sebelum mendapat cahaya mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bergelar anak kepada pakar perbidanan dan sakit puan serta Pengasas, Pusat Perubatan Primanora, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar, bukan jaminan mudah mendapat zuriat.

Sebaliknya, Dr. Liyana Dhamirah Aminuddin, 38, diuji apabila berdepan kesukaran memperoleh cahaya mata.

Situasi itu pastinya memberikan tekanan buat Dr. Liyana lebih-lebih lagi dia menunggu 10 tahun untuk mendapat zuriat pertama.

DR. LIYANA DHAMIRAH AMINUDDIN

Sepanjang penantiannya menimang cahaya mata pelbagai usaha dilakukan termasuk rawatan kesuburan in-vitro (IVF).

Banyak kali tidak berjaya, namun rezeki terhasil sewaktu melakukan IVF pada 2019 dan disahkan hamil.

Cakap-cakap orang sekeliling sudah pasti memberi tekanan lebih-lebih lagi melihat rakan sebaya sudah mempunyai dua, tiga anak.

Namun, dia mengambil pendekatan bersikap positif. Jadi dia tidak berasa tertekan apabila perbualan mereka lebih banyak kepada isu semasa berbanding rakan sebaya yang banyak bercerita perihal anak-anak.

“Ibu penasihat dan pendengar yang baik, dia ajar saya jangan berputus asa, banyak bersabar dan berdoa.

“Alhamdulillah, penantian kami sekeluarga berakhir dengan kegembiraan tahun lalu,” katanya yang turut menzahirkan rasa syukur, dianugerahkan suami yang sentiasa menyokong sepanjang perjalanan kerjayanya dan sabar dalam menanti kehadiran cahaya mata.

TERUS BERSABAR

Mengulas mengenai kegagalan rawatan IVF sepanjang tempoh untuk hamil, Dr. Liyana berkata, dia cuba tenangkan diri dalam seminggu dua untuk semangatnya pulih.

“Pesanan saya kepada pasangan belum dikurniakan anak, kebahagiaan bukan diukur melalui zuriat.

“Walaupun sedih untuk ditelan tetapi kebahagiaan datang bila kita terima seadanya. Kita jangan berputus asa dan teruslah berusaha,” katanya.

Dr. Liyana Dhamirah bersama suami, Muhammed Zuhdi.

Berkongsi pengalaman bersalin ketika fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Dr. Liyana mengakui risau kerana belum ada vaksin, lebih-lebih lagi melahirkan cahaya mata sulung.

“Walaupun saya doktor, memang saya risau. Saya tidak ada keluar rumah kecuali melakukan pemeriksaan kandungan sahaja.

“Cuma saya dapati bayi lahir pada waktu PKP, manja dan rasa lebih selamat dengan orang terdekat sahaja, sebab tidak banyak bergaul akibat pandemik.

“Saya pun tidak selalu membawanya keluar, cuma sesekali ke rumahe mak dan bapa bermain dengan sepupunya yang lain,” katanya.

Kes Covid-19 yang mencapai lima angka sehari dan meragut ratusan nyawa, bukan sahaja membimbangkan, tetapi ia dianggap sebagai beban kepada barisan hadapan.

Pensyarah dan Pakar Perubatan Klinikal Dermatologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dalam reaksinya terhadap situasi itu, melahirkan kebimbangan terhadap kelonggaran rentas daerah ketika kes masih tinggi.

Menurutnya, insiden itu memerlukan perhatian serius oleh semua lapisan masyarakat.

Sama ada untuk terus mementingkan aspek kebersihan, mengekalkan amalan amalan prosedur operasi standard (SOP) mahupun melengkapkan vaksinasi.

“Walaupun perubahan fasa dan kelonggaran rentas daerah diberikan tetapi situasi pandemik Covid-19 di negara ini masih dalam status membimbangkan.

“Hampir dua tahun kita dididik mengamalkan SOP sebaik mungkin. Jangan kerana kelonggaran yang diberikan baru-baru ini, rakyat sudah terlupa untuk mengamalkannya,” serius katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebagai pengamal perubatan, katanya, apa yang sepatutnya dilakukan ialah terus mempraktik hanya keluar rumah jika perlu dan mengutamakan kesihatan keluarga.

“Bagi industri yang sudah mula membuka kembali perniagaan, mereka harus terus menggalakkan pelanggan membeli secara dalam talian dengan memberi tawaran lebih berbanding dengan kehadiran membeli di premis mereka,” katanya.

BEKERJA DARI RUMAH

Dr. Liyana turut mengamalkan bekerja dari rumah sejak pandemik melanda negara.

Ujarnya, selepas kehadiran zuriat sulung pertengahan 2020, dia bersyukur kerana suaminya, Muhammed Zuhdi Fong Khairil Anuar banyak membantu menguruskan urusan di rumah. Sekaligus memudahkannya mengendalikan kelas dalam talian bersama pelajar UiTM.

“Walau sesibuk mana pun saya cuba mengelak untuk rasa tertekan. Biasanya saya melupakan sekejap tentang hal kerja dan berehat.

“Saya akui ia adalah cara terbaik mengelak stres melakukan sesuatu yang baharu dalam norma hari ini.

“Buat masa ini kebanyakan kelas pengajian, dilakukan secara maya. Ini memberi kelebihan kepada saya.

“Sungguhpun masih ada kekurangan di sana sini, seperti latihan praktikal tidak dapat dijalankan, tetapi kita memang tiada pilihan,” katanya yang sudah empat tahun menjadi pensyarah di institusi pengajian tinggi itu.

Tegasnya, walaupun bekerja daripada rumah kedengarannya mudah dan santai, hakikatnya ia amat mencabar. Lebih-lebih lagi bagi wanita berstatus isteri dan ibu.

SENTIASA serius dan teliti dalam menjalankan tugas untuk memastikan setiap keputusan yang diambil tepat selain mengurangkan risiko kepada para pesakit.

BUAT JADUAL

Lantaran tidak mahu urusan kerja dan tanggungjawab hakiki sebagai ibu terganggu, Dr. Liyana mengatur segala jadual hariannya bagi mengelakkan rasa santai, apatah lagi berada dalam persekitaran rumah bersama anak.

Malah katanya, penjadualan tugasan amat mustahak kerana ia membantunya merancang aktiviti dan dapat menyelesaikan tugasan seperti dijadualkan.

“Kalau pasangan kita pun bekerja di rumah, kita mesti merancang jadual bersama-sama untuk menentukan siapa yang akan bertanggungjawab untuk tugas-tugas berkaitan dengan rumah atau penjagaan anak.

“Situasi ini sebetulnya banyak membantu kita bekerja dengan tenang dan tidak terganggu.

“Tanpa jadual dan perancangan, boleh menyebabkan wanita letih kerana mudah terpengaruh untuk memulakan kerja lebih awal pagi. Sekaligus menyiapkan semua tugasan dari pagi hingga ke malam. Dengan kata mudah, lebih lama kerja daripada waktu bekerja di pejabat,” jelasnya.

CANTIK DENGAN ILMU

Kata orang, cantik saja tidak cukup tanpa memiliki daya intelektual yang tinggi.

Namun bagi yang dikurniakan kedua-duanya ia diibaratkan bonus untuk menyerlahkan kekuatan diri.

Ini diakui Dr. Liyana. Katanya kecantikan perlu digunakan ke arah kebaikan.

“Cantik itu subjektif. Saya sangat bersyukur jika ada mengatakan saya memiliki paras yang cantik. Ia kurniaan Allah, Alhamdulillah,” katanya tersenyum.

Berkhidmat lebih 13 tahun sebagai pakar perubatan. Dr. Liyana pernah berkecimpung dalam bidang estetik dan membantu ibunya di Pusat Perubatan Primanora sebagai pakar estetik.

Lulusan Royal College of Surgeons Ireland (RCSI) ini menyambung pengajian klinikal di Penang Medical School, Pulau Pinang sebelum memulakan kerjaya di Hospital Kuala Lumpur.

“Orang selalu cakap kalau cantik mesti tak pandai dan saya akui ada pesakit yang puji, kata mereka saya cantik. Tetapi saya lebih suka orang cakap saya pandai,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran sebagai doktor cantik, katanya situasi mencabar bagi dirinya apabila berdepan dengan pesakit yang lebih berusia.

“Untuk break the ice, susah. Saya kena bercakap banyak, serius dan terperinci untuk buktikan saya tahu kerja saya. Tidak mudah sebenarnya apabila orang menghakimi seseorang kalau cantik mesti tak pandai sangat.

“Tetapi apabila ada yang labelkan saya beauty with brains itu satu pujian!” katanya tersenyum membariskan giginya yang indah tersusun.

Biodata:
Nama: Dr. Liyana Dhamirah Aminuddin
Nama suami: Muhammed Zuhdi Fong Khairil Anuar
Anak ke berapa: Sulung daripada lima adik-beradik
Jawatan: Pensyarah dan Pakar Perubatan Klinikal Dermatologi Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Pakar Estetik Pusat Perubatan Primanora.

Kelulusan:

• Royal College of Surgeons Ireland (RCSI); Penang Medical School, Pulau Pinang;
• Ijazah Sarjana Sains dalam Anti-Penuaan, Perubatan Regeneratif dan Estetika Perubatan dari UCSI (Malaysia).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×