PH berperanan sebagai pembangkang konstruktif - Utusan Malaysia

PH berperanan sebagai pembangkang konstruktif

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan terus berperanan menjadi pembangkang konstruktif dengan bertindak sebagai semak dan imbang kepada kerajaan sedia ada.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, dengan memorandum persefahaman (MoU) itu juga, tiada ‘ancaman’ atau ugutan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Malah, katanya, dengan persetujuan MoU tersebut, ia juga bukan bermakna PH menjalinkan kerjasama sehingga memberi makna dan implikasi berbeza.

“Kita mahu pastikan kehidupan rakyat terbela dan politiking dikurangkan. Malah dalam intipati ucapan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam penjelasan telah diberikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas mengenai MoU yang ditandatangani kerajaan dan PH yang memperincikan butiran kefahaman merangkumi enam aspek dimeterai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin PH terbitan Pejabat Parlimen Malaysia sebelum ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Dr. Mujahid Yusof berkata, rundingan bersama kerajaan adalah disebabkan agenda keperluan demokrasi dan bukan kompromi menjual prinsip, apatah lagi menerima tawaran kedudukan.

Naib Presiden PKR, Tian Chua pula berkata, MoU hanya langkah permulaan dan ia tetap bergantung kepada keseriusan kerajaan dalam melaksanakan segala perkara yang ditetapkan setelah persefahaman kedua-dua pihak dicapai.

“Pembangkang bersikap terbuka dengan memberi sedikit masa lagi supaya kerajaan mempunyai ruang mengstabilkan keadaan dan mengotakan janji kepada rakyat. Jika pembangkang tak buat begini, selepas ini kerajaan pula tuduh sebab pembangkang selalu ‘kacau’,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras daripada DAP, Chow Yu Hui tidak menafikan sebahagian daripada akar umbi parti akan berasa pelik dan tidak percaya sama ada kerajaan dapat menunaikan perjanjian yang dimeterai.

Malah, katanya, kerajaan dan pembangkang mesti menerima hakikat kedua-duanya tidak mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan yang menuntut kepada pemeteraian perjanjian persefahaman tersebut.

“Jadi, apa yang ditawarkan oleh kerajaan sebenarnya adalah apa yang pembangkang tawarkan juga. Jika semua persetujuan ini ditunaikan, saya rasa perkembangannya menjadi lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata, sebarang perkara yang boleh membuatkan kedua belah pihak bertelagah perlu dielakkan dan menumpukan kepada urus tadbir negara yang membawa kesejahteraan rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×