PETALING JAYA: Pemulihan ekonomi negara dilihat lebih cerah menjelang suku keempat tahun ini dengan beberapa indikator, terutamanya aliran masuk modal pelabur asing dilihat positif.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembukaan ekonomi yang lebih meluas, kemajuan vaksinasi yang positif dan pengawalan kes Covid-19 yang kritikal dijangka akan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Kata beliau, Ogos lalu, sejumlah RM7.7 bilion telah dicatatkan dari segi aliran masuk modal pelabur asing, nilai yang tertinggi sejak Jun 2020 dan telah mengimbangi aliran keluar bagi dua bulan sebelum itu.
“Sejak Jun 2019, Ogos 2021 merupakan bulan pertama yang mencatat pembelian bersih oleh pelabur asing di pasaran ekuiti Malaysia. Indeks penanda aras utama Malaysia, FBMKLCI yang menurun sebanyak 5.7 peratus tahun ini telah berjaya pulih pada kadar 50 peratus berbanding kerugian sejak dua minggu lalu.
“Ini merupakan bukti keyakinan pelabur dan pengurus dana terhadap prospek pertumbuhan negara serta kesinambungan dasar-dasar kerajaan,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-68 semalam.
Jelas Tengku Zafrul, pertumbuhan Malaysia juga akan disorong permintaan luaran yang lebih memberangsangkan bagi produk seperti elektrik dan elektronik (E&E) dan hidrokarbon, kenaikan harga komoditi serta pelaburan berterusan bagi projek infrastruktur berskala besar dengan kesan pengganda yang tinggi.
Tambah beliau, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga mengumumkan prestasi memberangsangkan pada separuh pertama 2021 dengan pelaburan langsung asing (FDI) melonjak 223.1 peratus berbanding separuh pertama tahun lalu.
“Dari segi jumlah pelaburan yang diluluskan, Malaysia mencatat RM107.5 FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) bagi sektor pembuatan, perkhidmatan dan industri primer.
“Ini digambarkan melalui peningkatan 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Pelaburan yang diluluskan melibatkan 2,110 projek dan dijangka menghasilkan 44,994 peluang pekerjaan di negara ini,” katanya.
Pemulihan yang lebih cerah juga dapat dilihat apabila Malaysia menjadi antara tumpuan utama syarikat Taiwan di rantau Asia Tenggara berdasarkan tinjauan Perniagaan Tanpa Sempadan: Koridor Taiwan-ASEAN oleh Standard Chartered.
Kata Tengku Zafrul, ia turut dapat dilihat apabila pengeluar kereta mewah ternama dunia, Porsche AG memilih Kulim, Kedah sebagai lokasi pengeluaran pertamanya di luar Eropah pada Februari lalu. – UTUSAN









