‘Sumpahan Mahsuri’ berakhir - Utusan Malaysia

‘Sumpahan Mahsuri’ berakhir

PEMBUKAAN Pulau Langkawi terhad kepada pelancong domestik yang lengkap dua dos vaksinasi dan perlu mendapat kebenaran polis. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGIAT industri pelancongan di Pulau Langkawi kini boleh menarik nafas lega berikutan ‘sumpahan Mahsuri’ berakhir apabila bakal kembali menerima kehadiran pengunjung selepas lokasi itu dipilih sebagai projek perintis program travel bubble bermula esok. Pengumuman pembukaan pintu pulau peranginan itu kepada pelancong diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 September lalu.

Bagaimanapun, dalam kegembiraan tersebut, masih terselit kegusaran mereka terhadap penularan pandemik Covid-19 yang masih tinggi di negara ini termasuk di pulau lagenda berkenaan. Keadaan tersebut menyebabkan sebahagian penggiat industri berada dalam situasi dilema sama ada mahu membuka operasi atau menangguhkan sementara sehingga Covid-19 mulai reda.

Namun, demi kelangsungan industri, mereka bersepakat menerima kehadiran pelancong, esok.

Pada masa sama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan destinasi pelancongan pertama di negara ini. Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan, antara SOP ditetapkan adalah pembukaan Langkawi terhad kepada pelancong domestik yang lengkap dua dos vaksinasi dan perlu mendapat kebenaran polis serta beberapa syarat lain perlu dipatuhi.

Pembukaan pulau legenda itu kepada pelancong dilakukan berdasarkan data Jabatan Kesihatan Kedah yang menunjukkan sebanyak 89.2 peratus penduduk telah menerima dos pertama dan 82.3 lengkap dua dos setakat Ogos lalu, iaitu mencapai imunisasi kelompok seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jumlah penduduk di Pulau Langkawi yang layak menerima vaksin dianggarkan sekitar 76,400 orang daripada keseluruhan penduduk berjumlah 111,500 orang.

Pemain-pemain industri pelancongan di pulau tersebut mengharapkan mereka dapat bangkit semula setelah hampir lumpuh apabila tidak menerima kehadiran pelancong lebih setahun lalu.

Pada tahun ini, sektor pelancongan di Langkawi didakwa mengalami kerugian kira-kira RM1 bilion kerana tiada kehadiran pelancong berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Suasana meriah di pulau itu selama ini berubah menjadi sunyi, malah sebanyak 23 hotel ditutup sejak larangan pergerakan rentas daerah dan negeri. Daripada jumlah itu, lapan adalah hotel bertaraf tiga bintang ke atas manakala baki 15 lagi membabitkan hotel bajet dan inap desa.

NELAYAN

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Eugene Dass berkata, penutupan operasi hotel tidak dapat dielakkan berikutan tiada pelancong. Situasi tersebut memberi kesan ekonomi terhadap penduduk tempatan memandangkan lebih 80 peratus daripada mereka bergantung sepenuhnya kepada sektor pelancongan.

Malah terdapat dalam kalangan penduduk tempatan yang terlibat dalam sektor pelancongan terpaksa beralih ke bidang lain seperti menjadi nelayan dan berniaga kecil-kecilan.

Berdasarkan rekod, jumlah kemasukan pelancong pada 2019 adalah seramai 3.92 juta orang dengan mencatat pendapatan sebanyak RM1.7 bilion. Pada 2020, jumlah pelancong menurun secara mendadak dengan mencatat seramai 1.8 juta manakala pendapatan sekitar RM800 juta berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada tahun tersebut.

Dalam pada itu, Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) menjangkakan sebanyak 400,000 pelancong domestik mengunjungi pulau peranginan ini bermula 16 September hingga hujung tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir memberitahu, penggiat industri pelancongan menjangkakan pendapatan dapat diraih kira-kira RM600 juta dengan kehadiran semula pelancong dalam tempoh tersebut.

Menurut beliau, walaupun pendapatan itu jauh ketinggalan dari tahun lepas sebanyak RM1.7 bilion tetapi sekurang-kurangnya mereka memperoleh pendapatan tahun ini.

Selain itu, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pula menjangkakan kira-kira 5,000 pelancong mengunjungi Langkawi setiap hari mulai esok.

Pelancong memasuki pulau itu melalui perkhidmatan feri di Kuala Kedah dan Kuala Perlis serta penerbangan.

Jumlah hotel yang berdaftar dengan MOTAC di pulau pelancongan popular itu adalah sebanyak 212 buah dengan bilangan bilik kira-kira 15,000 dan kebanyakannya mula menerima tempahan antara 20 hingga 50 peratus sejak pengumuman projek perintis travel bubble di situ.

Sementara tempahan hotel di Langkawi membabitkan individu dan kumpulan dijangka meningkat menjelang pertengahan Oktober ini.

Diharapkan kehadiran pelancong di pulau itu selepas ini akan menggembirakan penduduk yang bekerja di sektor pelancongan dan para peniaga memandangkan mereka telah lama menderita akibat hilang punca pendapatan.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×