PETALING JAYA: Sunway Berhad, melalui usaha sama dengan pemaju Singapura, Hoi Hup Realty memenangi bidaan kompetitif bagi pengambilalihan pembangunan kondominium Flynn Park membabitkan tawaran bernilai S$371 juta (RM1.15 bilion) pada 9 September lalu.
Tender blok kondominium 72 unit yang dibina pada 1986 di Jalan Yew Siang, Pasir Panjang, Singapura itu dibuka pada akhir Julai lalu.
Ia terletak di tanah pegangan bebas seluas 4.79 ekar dan hanya 350 meter dari stesen MRT Pasir Panjang selain berhampiran mercu tanda seperti Pasir Panjang Food Centre, Mapletree Business City, VivoCity dan Pulau Sentosa.
Di bawah Pelan Induk Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (URA) Singapura 2019, kawasan itu berada dalam zon kediaman dengan nisbah plot 1.4.
Sunway Property berkata, pihaknya dan Hoi Hup berhasrat untuk membangunkan semula kawasan tersebut kepada kondominium moden persendirian dengan memanfaatkan lokasinya yang berada di lereng bukit, di pinggir pusat bandar dan bersebelahan pengangkutan awam serta berhampiran taman semula jadi Kent Ridge.
“Kesepakatan ini dilaksanakan oleh Savills Singapore yang merupakan tapak penjualan kolektif terbesar di Singapura tahun ini.
“Jualan kolektif di Singapura semakin meningkat kerana pemulihan pasaran hartanah negara itu,” menurut kenyataan itu.
Antara projek dibangunkan Sunway Property di Singapura ketika ini termasuk kondominium persendirian Ki Residences di Clementi, dan kondominium eksekutif di Tampines iaitu Parc Central.
Semua projek berjalan dengan baik sejak dilancarkan dengan masing-masing berjaya mencapai 60 dan 85 peratus.
Dengan pengambilalihan terbaharu Flynn Park, bank tanah Sunway Property setakat ini seluas 3,339 ekar, dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM54.4 bilion. – UTUSAN










