PUTRAJAYA: Kementerian Luar memberi jaminan pihaknya sudah pun mengambil maklum mengenai isu ancaman keselamatan dikeluarkan Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur semalam.
Wisma Putra menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya telah berkongsi isu itu dengan pelbagai agensi berkaitan serta menerima perkara tersebut sebagai sesuatu yang amat serius.
“Agensi keselamatan negara khususnya pihak Polis Diraja Malaysia sedang menilai segala situasi semasa dengan amat teliti,” tambah kementerian berkenaan di sini semalam.
Ia mengulas nota amaran perjalanan diterbitkan kedutaan itu yang menyebut Malaysia termasuk senarai ancaman pengganas di rantau Asia Tenggara.
Misi diplomatik itu di ibu negara merujuk arahan dari Kementerian Luar Jepun di Tokyo untuk semua rakyatnya termasuk berada di Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Myanmar.
Jurucakap kedutaan tersebut yang dipetik agensi berita rasmi Bernama menyatakan bahawa terdapat 31,000 warganegaranya menetap di Malaysia sama ada bertugas atau pun belajar.
Amaran berkenaan dikeluarkan hasil laporan Naicho, iaitu agensi perisikan luar negara Jepun di bawah Sekretariat Kabinet dan ia menghantar laporan terus kepada Perdana Menterinya.
Rakyat Jepun diminta menjauhi kawasan berisiko seperti bangunan milik kepentingan Barat dan dipercayai ada kaitan isu ulang tahun ke-20 peristiwa 11 September di Amerika Syarikat.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, kerajaan negara ini akan terus memantapkan lagi tahap keselamatan dengan turut berkongsi maklumat perisikan bersama pelbagai agensi asing.
“Wisma Putra juga mengarahkan Kedutaan Malaysia di Tokyo supaya berkomunikasi rapat dengan Kementerian Luar Jepun untuk sebarang perkembangan mutakhir,” kata kenyataan.
Kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik sejak Malaysia merdeka dengan Jepun membuka kedutaan pada 1957 sebelum Malaysia pula mewujudkan canserinya pada 1958.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis tidak mengesan dan menerima sebarang maklumat mengenai sebarang bentuk ancaman keselamatan susulan amaran pihak Kedutaan Jepun di Malaysia kepada rakyatnya mengenai kemungkinan berlaku serangan.
Satu sumber keselamatan memberitahu Utusan Malaysia, hasil maklumat diperoleh dari pihak berkuasa di Jepun mengatakan amaran dikeluarkan adalah perkara biasa sebagai peringatan umum.
Kata beliau, peringatan itu bagi mengingati kejadian 11 September 2001, selepas 20 tahun berlakunya serangan ke atas bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, Amerika Syarikat (AS) selain perkembangan semasa di Afghanistan. – UTUSAN










