Murid SPM, STPM negeri fasa 3 kembali sekolah - Utusan Malaysia

Murid SPM, STPM negeri fasa 3 kembali sekolah

Radzi Jidin dalam sidang akhbar khas pengoperasian sekolah di Putrajaya semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Murid sekolah menengah khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) negeri fasa 3 akan kembali ke sekolah pada 3 Oktober ini.

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, seperti sekolah rendah, tiada sekolah menengah dibenarkan beroperasi dalam Fasa 1 dan hanya dibenarkan beroperasi pada Fasa 2.

Katanya, dalam Fasa 2, hanya murid Tingkatan Enam Semester Dua, Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBD) Tahun Dua dan Program Pra Universiti Semester Tiga di Sekolah Sukan Malaysia dibenarkan hadir tanpa penggiliran.

“Selain itu, turut dibenarkan hadir adalah murid berkeperluan khas, murid kelas peperiksaan antarabangsa tanpa penggiliran, manakala murid lain terus menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Dalam Fasa 3, murid kelas peperiksaan antarabangsa lain akan hadir secara penggiliran, semua murid Pra Universiti di Sekolah Sukan Malaysia dan murid kelas peperiksaan awam di sekolah asrama penuh hadir tanpa penggiliran. Murid kelas peperiksaan awam di sekolah harian dan swasta akan hadir secara penggiliran,” katanya.

Bagi Fasa 4, Radzi berkata, murid kelas peperiksaan awam, Tingkatan Tiga dan Empat di sekolah asrama penuh hadir tanpa penggiliran manakala murid di sekolah harian dan swasta hadir secara penggiliran bermula 17 Oktober.

“Bagi murid Kelas Peralihan, Tingkatan Satu dan Dua pada 17 Oktober hingga 31 Oktober masih melaksanakan PdPR.

“Pada 31 Oktober, semua murid sekolah asrama penuh hadir tanpa penggiliran. Murid lain termasuk murid sekolah swasta, sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat hadir secara penggiliran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×