Jadi guru demi Tanah Melayu - Utusan Malaysia

Jadi guru demi Tanah Melayu

HUSSEIN Jaafar menunjukkan rekod pelajarannya semasa belajar di Sekolah Pesagi di Chenor, Maran sekitar tahun 1950. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Perjalanan hidup guru sebelum dan pasca merdeka mendidik anak bangsa adalah pengalaman hidup penuh berwarna-warni untuk dijadikan teladan kepada generasi baharu di negara ini.

Pengalaman dua guru sebelum merdeka yang kini berusia lebih 80 tahun bagaikan menyingkap liku-liku kehidupan mereka yang penuh ranjau dan duri di hadapan penjajah manakala di belakang ancaman fahaman komunisme.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak jati Kampung Pesagi, Chenor, Hussein Jaafar, 81, tidak dapat melupakan kejadian semasa belajar di Sekolah Mela­yu Pesagi sekitar 1950 ke­rana sering didatangi sekumpulan komunis Melayu lengkap bersenjata yang mengajar lagu komunis dan anti- Inggeris.

“Murid-murid Melayu meng­ikut sahaja arahan menyanyi dan mencatatkan seni kata lagu dalam papan batu yang digunakan pada masa itu.

“Saya adalah antara genera­si lama yang berpengalaman menulis nota dalam papan batu bersama seorang sahabat Omar Azman Mohamad sebelum kertas diperkenalkan dalam sistem persekolahan di negara ini,” katanya di sini semalam.

Hussein menambah, setelah menjadi guru tidak terlatih pada bulan Jun 1957 di Sekolah Melayu Kampung Marhum, Pekan bermulanya cabaran mendidik anak bangsa yang kurang terdedah kepentingan pelajaran.

Pada masa itu ujarnya, matlamat teras untuk menarik anak Melayu ke sekolah bagi mengenal ‘tulis baca’ di samping mata pelajaran asas Ilmu Tanaman, Bacaan Jawi dan Rumi, Tata Rakyat, Pekerjaan Tangan, Agama, Sejarah dan Ilmu Hisab.

Menurutnya, kaedah berce­rita kisah-kisah teladan klasik Melayu, China dan Inggeris dapat menarik murid-murid untuk belajar dan menumpukan kepada pelajaran.

Beliau masih ingat bagaimana nakalnya anak-anak Melayu ketika itu yang sambil lewa untuk belajar seperti menyorok di bawah meja dan almari, memanjat tingkap dan berlari-lari dalam kelas.

“Guru-guru lama era ber­kenaan tahu betapa sukarnya untuk mendidik anak bangsa ketika itu hanya berbekalkan semangat dan kekuatan minda. Majoriti golongan dewasa pula buta huruf,” katanya.

Tambahnya, kerana Tanah Melayu dia kekal menjadi guru untuk mendidik anak bangsa walaupun gaji hanya RM70 diberi penjajah dan meningkat RM180 sebulan setelah lulus latihan guru secara pos.

“Saya menerima gaji RM180 sebulan sehingga ada lima anak. Akibat kekurangan wang saya menoreh getah dan membuat sawah padi. Saya sentiasa memakai baju berwarna putih dan seluar hitam semasa mengajar bagi mengelirukan orang yang menyangka saya banyak baju. Hakikatnya itu sepasang yang ada,” katanya.

Bagi Omar Azman Mohamad, 80, dari Kampung Pantai Chenor pula berkata, dia menjadi guru pada awal tahun 1957 ketika usia sekitar 18 tahun.

Menurutnya, selaku guru dua zaman berbeza iaitu zaman dijajah dan merdeka, dia bersyu­kur kerana anak Me­layu dapat memerintah negara sendiri. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×