PETALING JAYA: Tindakan mengehadkan dan memilih jemputan media untuk membuat liputan sidang Parlimen adalah diskriminasi serta pilih kasih dalam sebuah negara bebas bersuara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesa keputusan itu dikaji semula di samping wajar diberi penjelasan mengapa ia dibuat.
Menurut beliau, media memainkan peranan penting dalam proses semak imbang dan penyebaran maklumat.
“Utusan Malaysia pula mempunyai sejarah yang panjang sebagai wadah informasi negara kita.
“Maka kebenaran membuat liputan perlu dilihat sebagai keputusan yang adil. Jika ada sebab, maka adalah lebih baik ia dijelaskan supaya tidak timbul salah faham,” katanya.
Beliau mengulas keputusan Parlimen buat pertama kali dalam sejarah penubuhannya tidak tersenarai sebagai media arus perdana untuk membuat liputan laporan sidang Parlimen, bermula 13 September ini.
Selain itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, jika alasan bimbang penularan Covid-19 ia bukan sesuatu yang berasas.
“Sekiranya pihak Parlimen bimbang penularan virus itu, mereka perlu mengehadkan kepada media rasmi sahaja.
“Mengapa Utusan Malaysia tidak dipilih tetapi media bahasa Melayu boleh terpilih? Ini satu diskriminasi dan pilih kasih kerana media lain dipilih tetapi tidak pula kepada Utusan Malaysia.
“Jika begitu adalah lebih baik tidak beri liputan kepada semua media dan terhad kepada media rasmi sahaja,” katanya.
Dalam jemputan media yang dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun semalam, sebanyak 16 agensi dibenarkan iaitu RTM, Bernama, Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) dan Finas sebagai penyiar rasmi, media TV3 dan Astro Awani pula mewakili agensi elektronik (TV).
Ia berbeza dengan jemputan media sebelum ini yang membenarkan Utusan Malaysia membuat liputan secara fizikal bersama 15 media yang lain.
Bagi akhbar Bahasa Melayu, ia diwakili Berita Harian dan Sinar Harian, sementara The Star dan The Sun mewakili akhbar Bahasa Inggeris.
Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Malaysia Nanban dan AFP masing-masing mewakili akhbar berbahasa Cina dan Tamil dan media antarabangsa.
Bagi media online pula, ia diwakili Malaysia Kini dan Malaysia Now untuk membuat liputan secara fizikal di Parlimen.- UTUSAN











