PEMILIHAN pelitup muka untuk kanak-kanak yang sesuai, selesa dan selamat daripada bakteria mahupun virus sudah semestinya menjadi keutamaan ibu bapa.
Pening juga membuat pilihan sebab pelbagai pelitup muka kanak-kanak di pasaran terdiri daripada jenis perubatan dan fabrik yang kebanyakanya tidak menepati ciri dan keberkesanan terutamanya bila berada di tempat sesak.
Baru-baru ini, syarikat sosial teknologi, Oura memperkenalkan dua pelitup muka terbaharu antimikrob pertama dalam pasaran Asia Tenggara dengan teknologi sanitasi kendiri iaitu Active Mask Jr. dan Air Mask Jr. 2.0 kepada kanak-kanak.
Ia berupaya memberi pernafasan baik dan selesa kepada kanak-kanak serta menapis 90 peratus partikel bakteria dan virus. Pelitup muka Oura ini juga telah direka bentuk bagi menghapuskan molekul dan bakteria yang menjadi punca bau busuk serta memastikan kanak-kanak bergerak aktif tanpa tekanan.
Oura dalam kenyataan memaklumkan, setiap pelitup muka Oura Jr. diperbuat daripada tiga lapisan fabrik gred perubatan yang ditenun rapi dan disematkan dengan partikel oksida perak dan titanium dioksida secara kekal agar menapis dan membunuh kuman dan patogen.
“Ia menggunakan fabrik ultra-ringan dan menyerap lembapan 30 peratus lebih ringan berbanding fabrik biasa. Fabrik berteknologi tinggi ini memastikan kanak-kanak boleh bernafas dengan mudah berbanding sebelumnya,” katanya.
Lebih menarik, ia mengekalkan ciri sanitasi kendiri walaupun selepas dicuci ratusan kali, tidak sama dengan lapisan pelindung pada pelitup muka jenama lain yang akan hilang selepas hanya beberapa cucian.
Pelitup muka Oura khas untuk kanak-kanak ini ditawarkan pada harga RM150 bagi Active Mask Jr. manakala Air Mask Jr. 2.0 berharga RM135.
Kedua-dua pelitup muka Oura tersebut menepati garis panduan yang ditetapkan oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat yang menutup rapi bahagian tepi muka dan mempunyai klip hidung boleh laras bagi menghalang udara keluar daripada bahagian atas.










