PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghormati keputusan (Semakan Kehakiman) yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak berhubung pelaksanaan Undi18.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, satu sumber SPR berkata, ini termasuk soal pendaftaran pemilih automatik bagi rakyat yang belum pernah berdaftar sebagai pemilih.
“Sebarang tindakan susulan SPR akan dimaklumkan kelak,” kata sumber tersebut semalam.
Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching dalam keputusannya mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Undi18 selewat-lewatnya pada 31 Disember ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew membenarkan permohonan yang difailkan lima belia Sarawak untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu yang tidak melaksanakan pindaan Undi18 pada Julai.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang akhbarnya di Putrajaya semalam mengarahkan SPR agar terus mempercepatkan proses itu seawal-awalnya pada Januari tahun depan.
Dengan pelaksanaan itu, dijangka seramai 5.6 juta rakyat Malaysia termasuk yang belum mendaftar sebagai pengundi akan berpeluang menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Jumlah itu meliputi 1.2 juta remaja sudah berusia 18 tahun sehingga 21 tahun selain 4.4 juta lagi individu berumur 21 tahun ke atas yang langsung tidak pernah mendaftar.
Wan Junaidi berkata, setakat ini, pihak SPR dan Pejabat Peguam Negara tidak berhasrat membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.
“Jika diteliti, kerajaan tidak kalah pun dan hakim mahkamah juga tidak salah kerana memang perkara itu akan dilaksanakan namun isunya ialah bilakah tempoh masa sesuai,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan berpendapat, ia boleh diimplementasi paling lewat pada September 2022 berdasarkan kerangka kerja ditetapkan setelah usul itu diwartakan Parlimen pada 2018.
Justeru, SPR perlu bergerak pantas termasuk dari segi penyelarasan data terkini rakyat yang direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi melibatkan golongan itu.
“Ini bermakna SPR kena kerja tambahan dengan koordinasi pihak JPN selain dibuat proses pemutihan daftar individu yang sudah mati tetapi tidak pernah dimaklumkan waris,” katanya. – UTUSAN











