Gelembung kampus Oktober ini - Utusan Malaysia

Gelembung kampus Oktober ini

IPT dijangka menerima kembali kehadiran pelajar apabila gelembung kampus diwujudkan mulai Oktober ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institusi pe­ngajian tinggi (IPT) bakal me­nerima kembali kehadiran pelajar apabila gelembung kampus (campus bubble) diwujudkan mulai Oktober ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, mekanisme lanjut akan dimaklumkan pada waktu terdekat dengan mengambil kira kadar vaksinasi mahasiswa serta seluruh warga universiti.

“Kita kena menerima hakikat bahawa kehidupan kita berada dalam ancaman pandemik Covid-19, maka pihak KPT akan membuka universiti awam dan swasta untuk kemasukan pelajar kembali ke kampus masing-masing.

“Mengenai isu penolakan vaksin dalam kalangan mahasiswa, kita lihat isu ini tidak terlalu meruncing, malah kadar vaksinasi di negara kita mencatatkan kadar pengambilan tertinggi dalam kalangan mereka.

“Saya mempunyai kepercayaan kepada Menteri KPT dalam usaha mewujudkan pelan tertentu berkenaan penolakan vaksin oleh mahasiswa, malah perancangan pembukaan universiti nanti telah diluluskan Majlis Ke­selamatan Negara,” katanya ketika ditemui di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Kem Sungai Besi, di sini semalam.

Beliau ditemui dalam program lawatan kerja rasmi pertamanya ke UPNM sejak pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pe­ngajian Tinggi.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan persetujuan KPT dan Pasukan Petugas Khas Covid-19 Kebangsaan (CITF) dalam memberikan vaksin kepada seluruh warga IPT Oktober depan.

Pelan Pemulihan Institut Pengajian Tinggi (PEMULIH IPT) tersebut sedang dirangka dengan mengambil kira vaksinasi warga IPT sebagai usaha mengekang penularan kes ketika pembukaan nanti.

“Lawatan ke UPNM ini bertujuan melihat kesediaan universiti dalam konteks pengurusan pelajar mendepani pandemik Covid-19 untuk kemasukan Oktober ini, maka dengan penjelasan pihak pengurusan, saya yakin mereka sudah bersedia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×