KUANTAN: Pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka perlu dilaksanakan bagi mengelak masalah kesihatan mental dan psikologi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Malah ibu bapa juga menghadapi masalah psikologi apabila berdepan anak-anak yang tertekan kerana pergerakan kumpulan tersebut terhad selain tidak semua berpuas hati dengan cara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Tekanan dalam tempoh PdPR juga boleh berpunca daripada masalah internet lemah, tiada gajet dan hilang fokus dengan sesi PdPR.
Berita berkaitan:
- Ramai hasilkan lagu sendiri, cuma jangan perlekehkan komposer lama – Amir Jahari
- MCMC teliti aduan akaun WhatsApp digodam
- Rais Yatim mengaku tidak bersalah tuduhan menghasut
- Dasar awam perlu berlandas penyelidikan berkualiti, data sahih, analisis menyeluruh
- Malaysia tambah sumbangan A$1juta bantu Palestin
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, beliau menyokong PdP bersemuka kembali dilaksanakan kerana anak-anak yang sudah lama ketinggalan pelajaran mereka.
Menurut beliau, menerusi PdPR, pembelajaran tidak banyak dapat diserapkan kerana pelajar gagal memberi fokus seperti ketika belajar di sekolah.
“Apa yang penting adalah mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan ibu bapa perlu mengambil berat termasuk tidak menghantar anak yang demam dan bergejala ke sekolah.
“Begitu juga guru-guru, mereka perlu ada kesedaran dan rasa tanggungjawab. Apa yang utama patuh SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” kata beliau semalam.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, terdapat kajian yang mengaitkan ketiadaan kawalan penggunaan telefon pintar dengan kesihatan mental remaja dan kanak-kanak.
Antara masalah dihadapi ialah kemurungan dan keresahan kerana kumpulan tersebut sangat gemar membandingkan diri dengan gaya hidup orang lain menerusi sindrom selfie.
Mohd. Ekhwan dilaporkan, kajian juga menunjukkan 94 peratus pengguna internet di negara ini membabitkan remaja manakala 70 peratus ibu bapa tidak menyedari anak-anak terdedah perkara negatif.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, ibu bapa perlu celik Teknologi Maklumat (IT) bagi memantau penggunaan internet membabitkan anak-anak.
“Ibu bapa kena memantau penggunaan internet anak-anak termasuk laman sesawang yang dilayari. Jika berunsur negatif, ia perlu segera disekat dan ibu bapa perlu memberikan nasihat kepada anak-anak.
“Sewaktu PdPR, ibu bapa perlu memantau anak-anak agar fokus kepada pembelajaran dan tidak menyalahgunakan telefon pintar dan internet,” katanya.
Berhubung PdP, beliau berkata, ia perlu dilaksanakan namun harus bergantung kepada kes penularan Covid-19 supaya tiada jangkitan dalam kalangan anak-anak dan selepas itu dibawa pulang ke rumah. – UTUSAN











