Cabaran usul undi percaya PM9 lepasi ‘isu kuorum’ - Utusan Malaysia

Cabaran usul undi percaya PM9 lepasi ‘isu kuorum’

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melakukan usul undi percaya bagi mengabsahkan kedudukan beliau sebagai PM9.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memastikan beliau mempunyai kuorum yang cukup sebelum pengundian usul percaya pada sidang Dewan Rakyat minggu depan, bagi menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Situasi ‘tidak cukup kuorum’ boleh berlaku jika terdapat ahli Dewan Rakyat yang menyokong beliau tetapi tidak dapat hadir ke Parlimen yang antaranya mungkin disebabkan masalah kesihatan seperti positif Covid-19.

Ismail Sabri memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 111 wakil rakyat pada usul undi percaya bagi mengabsahkan jawatan beliau seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun blok pembangkang sebelum ini dilapor mampu berkompromi berhubung perkara berkenaan, keadaan sebaliknya boleh berlaku selepas pengumuman Jemaah Kabinet kelmarin.

Ini kerana ada yang menyifatkan senarai itu mengecewakan kerana barisan Jemaah Menteri yang diumumkan hanya kitar semula daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, blok kerajaan perlu memastikan kehadiran sekurang-kurangnya 111 ahli Parlimen ketika usul percaya dilakukan terhadap Ismail Sabri pada sidang Dewan Rakyat.

Menurut beliau, kegagalan berbuat demikian memberi kesan langsung membabitkan sokongan Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen Bera itu sepertimana diperuntukkan dalam Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan iaitu Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Beliau menjelaskan, ketidakhadiran ahli Dewan Rakyat akan dianggap mereka berkecuali atau secara mudahnya tidak menyokong usul.

“Andainya terdapat lima ahli Parlimen kerajaan tidak hadir disebabkan masalah tertentu seperti Covid-19, ini bermakna blok kerajaan hanya mempunyai 109 sokongan sekali gus gagal memperoleh majoriti mudah atau sekurang-kurangnya 111 anggota Dewan Rakyat.

“Jadi berdasarkan Perkara 43 (4), Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, persidangan Dewan Rakyat perlu dihadiri sekurang-kurangnya 26 ahli Parlimen, tidak termasuk Pengerusi (Yang Dipertua) termasuk ketika pengundian satu-satu usul dijalankan.

Menurut beliau, ia mengambil kira Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 13(1) berhubung cukup bilang bagi (korum) Majlis Mesyuarat.

“Jadi kena cukup kehadiran 26 ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat, baru boleh diteruskan persidangan,” katanya.

Kata beliau, proses pengundian perlu dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat dan tidak boleh dilakukan di luar Dewan.

Sementara itu, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, jika Ismail Sabri gagal dalam ujian tersebut, maka kedudukan beliau goyah seperti dinyatakan dalam Perkara 43 (4).

Jelas beliau, undang-undang itu menyebut jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Hal ini kerana meskipun di luar Parlimen dimaklumkan Ismail Sabri mempunyai sokongan 114 ahli Parlimen namun kedudukannya sebagai Perdana Menteri terjejas jika gagal dalam usul undi percaya dalam Dewan Rakyat.

“Jadi Perdana Menteri kena berjaya dalam usul percaya sewaktu Sidang Parlimen pada bulan depan. Beliau seharusnya dapat sekurang-kurangnya sokongan 111 ahli Parlimen atau lebih terhadap usul percaya ini. Undi percaya ini seolah-olah seperti undi tidak percaya, maka Perdana Menteri kena dapatkan sokongan majoriti.

“Sebab itu, kalau dilihat ketika pengundian Belanjawan 2021 pada tahun lalu, ada ahli Parlimen yang hadir memakai pakai perlindungan diri (PPE). Jadi ini menunjukkan kepentingan undi terhadap sesuatu usul apatah membabitkan usul percaya kepada Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal berkata, usul percaya bertujuan untuk membantu kerajaan sama ada cukup sokongan atau sebaliknya dalam meneruskan pentadbiran termasuk mengubal polisi dan dasar negara.

Katanya, usul percaya bukanlah satu proses terhadap pelantikan Perdana Menteri kerana berdasarkan Perkara 43 (2)(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

“Namun secara umumnya undi percaya atau tidak percaya bertujuan untuk membantu kerajaan sama ada cukup sokongan mahupun sebaliknya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×